PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Rendah Susulan Niaga Hadapan Serantau Yang Lemah

11/05/2026 05:35 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau meskipun harga minyak mentah lebih kukuh, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah serantau kekal di bawah tekanan dengan penurunan dilihat pada Getah Spesifikasi Teknikal (TSR) 20 di Shanghai Futures Exchange (SHFE).

“Sentimen kekal berhati-hati dipacu oleh kebimbangan terhadap permintaan kenderaan domestik yang lemah di China serta ketidaktentuan yang lebih meluas menyelubungi keadaan ekonomi dan perdagangan global.

“Jualan kenderaan domestik China merosot bagi bulan ketujuh berturut-turut pada April di tengah-tengah persaingan sengit dan permintaan pengguna yang suram,” kata peniaga itu kepada Bernama.

Beliau juga berkata harga minyak melonjak selepas Donald Trump menolak maklum balas Iran terhadap cadangan damai Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan di Selat Hormuz.

Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 2.08 peratus kepada US$97.40.

Peniaga itu menyatakan penurunan sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan optimisme terhadap perbincangan perdagangan AS-China yang akan datang, data eksport dan inflasi China yang lebih kukuh serta kebimbangan bekalan dalam pasaran minyak global.

China mengesahkan Presiden Xi Jinping dan Trump akan bertemu di Beijing pada Rabu sekali gus meningkatkan optimisme terhadap pengurangan ketegangan perdagangan.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut sebanyak 0.5 sen kepada 882 sen sekilogram manakala lateks pukal juga merosot 0.5 sen kepada 755.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan