PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Antara US$4,300 Hingga US$4,500 Minggu Depan

28/03/2026 10:24 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat yang besar antara US$4,300 hingga US$4,500 minggu depan di tengah-tengah ketidakpastian pasaran susulan ketegangan di Asia Barat yang berterusan. 

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pelabur sedang memerhati senario bermula daripada gencatan senjata hingga potensi berlakunya gangguan kepada eksport minyak Iran kepada peningkatan operasi ketenteraan Amerika Syarikat.

Innes berkata ketegangan yang semakin reda berkemungkinan akan menurunkan harga minyak, yang seterusnya boleh mengurangkan hasil dan tekanan ke atas emas serta memulihkan daya tarikannya sebagai penyimpan nilai. 

“Secara ringkasnya, emas bukan sahaja bertindak balas terhadap risiko geopolitik sekarang.

“Ia juga bertindak balas terhadap bagaimana harga minyak mempengaruhi kadar faedah,” katanya kepada Bernama. 

Sepanjang minggu lalu, niaga hadapan emas kebanyakannya susut apabila konflik Asia Barat reda, menjadikan logam aset selamat itu lebih menarik selepas jualan paksa baru-baru ini, dan di tengah-tengah kebimbangan berterusan mengenai ketegangan yang semakin meningkat. 

Pada asas mingguan, Mac 2026 berkurang kepada US$4,439.80 setiap auns troy pada Jumaat berbanding US$4,720.10 setiap auns troy minggu lepas. 

April 2026 susut kepada US$4,459.80 setiap auns troy daripada US$4,740.20 setiap auns troy sebelumnya, dan Mei 2026 merosot kepada US$4,479.80 setiap auns troy daripada US$4,760.40 setiap auns troy. 

Kontrak Jun dan Ogos 2026 turut ditutup lebih rendah pada US$4,513.70 setiap auns troy berbanding US$4,794.30 setiap auns troy pada minggu sebelumnya. 

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 60 lot daripada 93 lot seminggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 87 kontrak daripada 88 kontrak. 

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,456.45 setiap auns troy oleh London Bullion Market Association pada 26 Mac 2026. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan