PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

13/03/2026 11:02 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring dengan penurunan Wall Street semalaman selepas pemimpin tertinggi baharu Iran memberi isyarat bahawa Selat Hormuz akan terus ditutup.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 10.82 mata atau 0.63 peratus kepada 1,700.19 daripada 1,711.01 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 9.07 mata kepada 1,701.94.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 215 kaunter rugi mengatasi 109 kaunter untung manakala 202 kaunter tidak berubah, 2,163 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 88.13 juta saham bernilai RM67.82 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran AS merosot apabila ketiga-tiga indeks utama ditutup rendah manakala harga minyak mentah Brent kekal tinggi melebihi US$100 setong selepas pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei mengumumkan Selat Hormuz akan terus ditutup.

Ini merupakan kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh Mojtaba sejak beliau menggantikan bapanya yang terbunuh, kenyataan yang dibacakan melalui saluran televisyen nasional itu.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent merosot 0.57 peratus kepada US$99.89 setong.

“Kami menjangka dana asing membeli saham tempatan secara berperingkat dan corak itu diunjurkan berterusan dalam jangka masa pendek,” katanya kepada Bernama, sambil menambah FBM KLCI dijangka berada dalam julat 1,700–1,715 hari ini.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, prospek jangka pendek untuk Wall Street kekal lembap berikutan Rizab Persekutuan AS mungkin menangguhkan keputusan mengenai penurunan kadar faedah dalam kebimbangan inflasi yang berterusan.

“Pelabur akan memantau data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat AS yang akan dikeluarkan hari ini,” katanya.

Pada peringkat domestik, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas Kabinet hari ini untuk mengkaji semula kedudukan fiskal negara dan memantau perkembangan di Iran susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu didorong oleh ketegangan serantau yang meningkat yang boleh menjejaskan ekonomi global, termasuk Malaysia.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan merosot 24 sen kepada RM21.70, Tenaga Nasional berkurangan 12 sen kepada RM14.28, Hong Leong Bank menurun 28 sen kepada RM22.64, IHH Healthcare menyusut sembilan sen kepada RM9.01 dan MISC merosot tiga sen kepada RM8.37.

Dalam senarai paling aktif, Pharmaniaga dan Land & General, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 24.5 sen dan 14 sen manakala Jiankun International meningkat 1.5 sen kepada lapan sen, Velesto Energy menambah setengah sen kepada 33 sen dan Kronologi Asia menokok 1.5 sen kepada 15 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Nestle, menambah 40 sen kepada RM104.50; SAM Engineering & Equipment, naik tujuh sen kepada RM3.19; Hengyuan Refining Company dan Press Metal Aluminium Holdings, masing-masing meningkat enam sen kepada RM1.67 dan RM7.58 serta Petronas Gas menokok 12 sen kepada RM17.52.

Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries, merosot 30 sen kepada RM29.50; Kuala Lumpur Kepong berkurangan 22 sen kepada RM19.56; United Plantation menurun 20 sen kepada RM32.90; Hong Leong Industries menyusut 24 sen kepada RM16.74 dan Malayan Cement merosot 19 sen kepada RM7.29.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 jatuh 76.11 mata kepada 12,269.94, Indeks FBM Emas merosot 73.02 mata kepada 12,428.79, Indeks FBM 70 berkurangan 97.12 mata kepada 17,109.39, Indeks FBM Emas Shariah menurun 46.22 mata kepada 12,178.86 dan Indeks FBM ACE jatuh 23.32 mata kepada 4,379.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 220.63 mata kepada 20,426.47, Indeks Perladangan berkurangan 28.25 mata kepada 8,475.98 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.48 mata kepada 176.66 dan Indeks Tenaga naik 4.64 mata kepada 800.38.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan