PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Berikutan Permintaan Aset Selamat Berkurangan

05/03/2026 10:19 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis apabila perubahan sentimen pasaran mengurangkan keperluan pelabur untuk mengekalkan pegangan terhadap logam berharga itu sebagai lindung nilai geopolitik.

Prestasi itu dicatatkan meskipun niaga hadapan emas di Bursa Komoditi New York (Comex)  merekodkan kenaikan.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata faktor utama adalah tenaga.

Beliau berkata memandangkan harga minyak mentah kekal di bawah US$84 setong, pasaran kini cenderung kepada pandangan bahawa fasa gangguan paling tegang di Timur Tengah mungkin lebih singkat berbanding senario konflik berpanjangan yang pada awalnya dibimbangi oleh pelabur.

Perubahan persepsi telah mengurangkan keperluan mendesak untuk mengekalkan pegangan emas sebagai lindung nilai geopolitik, sekurang-kurangnya buat masa ini namun, keadaan masih sangat tidak menentu, katanya kepada Bernama.

“Permintaan terhadap aset selamat boleh muncul semula dengan cepat jika konflik semakin memuncak atau pasaran tenaga mula mengambil kira kemungkinan kejutan bekalan yang lebih berpanjangan,” katanya.

Pada akhir dagangan, Mac 2026 susut kepada US$5,185.70 setiap auns troy daripada US$5,189.20 pada Rabu.

April 2026 turun kepada US$5,204.20 setiap auns troy daripada US$5,207.40, manakala Mei 2026 merosot kepada US$5,223.30 setiap auns troy daripada US$5,224.80.

Jun 2026 dan Ogos 2026 juga ditutup rendah pada US$5,257.20 setiap auns troy berbanding US$5,258.70 semalam.

Jumlah dagangan turun kepada lima lot berbanding sembilan pada Rabu, manakala kepentingan terbuka susut kepada 84 kontrak daripada 87 kontrak.

Emas fizikal ditetapkan pada US$5,148.55 setiap auns troy semasa penetapan sebelah petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 4 Mac, 2026.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan