PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS, Sentimen Elak Risiko Beri Tekanan

02/03/2026 08:28 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memandangkan sentimen elak risiko semasa memberi tekanan kepada mata wang tempatan susulan ketidaktentuan yang memuncak berkaitan konflik di Timur Tengah.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 3.9225/9295 berbanding dolar AS daripada 3.8910/8960 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun berlaku kejutan geopolitik namun ringgit kekal di bawah paras RM4.00 berbanding dolar AS sekali gus boleh dianggap berdaya tahan memandangkan skala konflik yang tercetus.

“Pasaran kekal dalam keadaan yang sangat tidak menentu. Oleh itu, ringgit dijangka terus rendah berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

AS dan Israel melancarkan beberapa serangan sasaran terhadap Iran pada Sabtu, termasuk Tehran, dengan sejumlah orang awam dilaporkan terkorban.

Iran kemudianya membalas dengan serangan peluru berpandu ke atas wilayah Israel dan kemudahan ketenteraan AS di Timur Tengah.

Terdahulu hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar AS setakat 1 Mac, 2026.

Beliau berkata pengukuhan ringgit mencerminkan asas domestik yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 5.2 peratus mengatasi unjuran asal.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.6031/6113 daripada 4.5898/5957 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.4984/5032 daripada 2.4930/4963.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding pound British kepada 5.2460/2553 daripada 5.2470/2538.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0854/0912 daripada 3.0742/0784 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.5/233.0 daripada 231.7/232.2.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.4682/4980 daripada 12.5153/5370, dan lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.76 daripada 6.75/6.76.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan