Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu susulan aktiviti pengambilan untung, sekali gus mencatat penurunan untuk sesi kedua berturut-turut.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 6.20 mata atau 0.35 peratus kepada 1,747.81 berbanding paras 1,754.01 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.35 mata lebih tinggi pada 1,755.36 dan bergerak antara 1,744.46 dan 1,755.36 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen keseluruhan pasaran adalah bercampur-campur dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 541 berbanding 539, manakala 539 kaunter tidak berubah. Sebanyak 1,150 kaunter tidak diniagakan dan 116 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.52 bilion unit bernilai RM2.93 bilion berbanding 2.10 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI menyusut sedikit apabila pelabur terus mengambil keuntungan.
“Bagaimanapun, aliran keseluruhan kekal positif dengan pembentukan ‘paras tertinggi lebih tinggi’ dan ‘paras terendah lebih tinggi’ sejak beberapa bulan lepas mengukuhkan struktur pemulihan semasa.
"Selagi indeks kekal di atas paras sokongan 1,730–1,740 mata, aliran menaik masih kukuh dan berpotensi mendorong kenaikan ke julat 1,770–1,780,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata secara keseluruhan pasaran masih dalam keadaan baik dan stabil dengan Indeks FBM KLCI masih berada di atas purata harga 50 hari dan 100 hari, yang lazimnya menunjukkan trend pemulihan jangka sederhana.
Meskipun momentum sedikit sederhana, pasaran masih menunjukkan aliran positif serta dijangka bergerak dalam julat tertentu dan tidak menukar arah kepada trend penurunan, katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM12.36, Public Bank turun 14 sen kepada RM4.95 dan IHH Healthcare merosot lapan sen kepada RM9.00. CIMB Group naik tiga sen kepada RM8.47 manakala Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.18.
Dalam senarai paling aktif, Zetrix AI susut setengah sen kepada 80.5 sen, Teamstar, yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE turun 2.5 sen kepada 23.5 sen dan Astro Malaysia berkurang 1.5 sen kepada 7.5 sen. Tanco meningkat tiga sen kepada RM1.53 dan Capital A naik 1.5 sen kepada 60.5 sen.
Bagi kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak 78 sen kepada RM32, Petronas Dagangan meningkat 56 sen kepada RM21.96 dan United Plantations naik 54 sen kepada RM30.16. Sunway Construction menambah 31 sen kepada RM6.90 manakala Hong Leong Financial naik 18 sen kepada RM22.
Sementara itu, Nestle mendahului kaunter rugi selepas susut 50 sen kepada RM110.50, diikuti Kuala Lumpur Kepong yang turun 42 sen kepada RM19.18 dan Telekom Malaysia merosot 39 sen kepada RM7.75. Allianz Malaysia susut 22 sen kepada RM22.08 manakala Globaltec turun 19 sen kepada 81 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 28.17 mata kepada 12,823.60, Indeks FBMT 100 merosot 30.73 mata kepada 12,644.17 dan Indeks Syariah Emas FBM turun 2.13 mata kepada 12,344.77.
Indeks FBM ACE pula berkurangan 10.18 mata kepada 4,801.95, manakala Indeks FBM 70 meningkat 20.36 mata kepada 17,769.08.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 83.17 mata kepada 21,631.13 dan Indeks Perladangan turun 7.38 mata kepada 8,386.69. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.92 mata kepada 174.96 manakala Indeks Tenaga menambah 2.79 mata kepada 769.73.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.44 bilion unit bernilai RM2.67 bilion berbanding 1.34 bilion unit bernilai RM2.61 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran naik kepada 628.70 juta unit bernilai RM75.10 juta daripada 510.55 juta unit bernilai RM63.57 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 446.38 juta unit bernilai RM179.65 juta berbanding 257.81 juta unit bernilai RM130.05 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 258.62 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (178.24 juta), pembinaan (130.46 juta), teknologi (201.39 juta), perkhidmatan kewangan (103.57 juta), hartanah (182.10 juta), perladangan (21.98 juta), amanah pelaburan hartanah (15.53 juta), dana tertutup (61,000), tenaga (90.25 juta), penjagaan kesihatan (57.59 juta), telekomunikasi dan media (132.25 juta), pengangkutan dan logistik (28.55 juta), utiliti (46.32 juta) serta amanah perniagaan (13,500).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial