Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Ringgit dan peso Filipina antara mata wang ASEAN terjejas oleh pengukuhan dolar AS semasa ditutup hari ini selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) terkini memberi petunjuk mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah, kata ahli ekonomi.
Pada 6 petang, ringgit menurun kepada 3.9045/9125 berbanding dolar AS daripada 3.8945/9055 semasa ditutup pada Isnin.
Peso Filipina ditutup rendah kepada 57.996 berbanding dolar AS hari ini, merosot daripada 57.861 semasa ditutup sebelum ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat FOMC terkini menunjukkan bahawa kemungkinan kenaikan kadar faedah perlu diambil kira.
“Ini didorong oleh beberapa peserta mesyuarat FOMC mencadangkan penjelasan yang mengambil kira dua kemungkinan perlu dimasukkan dalam kenyataan mereka kepada orang ramai terutamanya apabila inflasi boleh terus melebihi paras sasaran,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, katanya ringgit berbanding dolar AS dilihat berada antara 3.9110 dan 3.9193 hari ini.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5221/5275 daripada 2.5356/5430 semasa ditutup pada Isnin, mengukuh berbanding euro kepada 4.6073/6168 daripada 4.6204/6335 dan naik berbanding pound kepada 5.2730/2838 daripada 5.3137/3287 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0817/0882 daripada 3.0860/0949 sebelum ini, tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.5196/5521 daripada 12.5205/5619, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 231.1/231.6 daripada 231.4/232.2, bagaimanapun rendah berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.75 daripada 6.71/6.74 sebelum ini.
Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada 17 Februari 2026 (Selasa) dan 18 Februari 2026 (Rabu) sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial