PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

07/02/2026 10:59 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI diunjurkan meningkat apabila pasaran berhenti seketika selepas mencatatkan keuntungan baru-baru ini susulan kenaikan kukuh, membolehkan penilaian menjadi stabil.

"Apa yang memberangsangkan, tekanan jualan kekal teratur dengan pelabur sebahagian besarnya mengambil untung berbanding keluar daripada pasaran, manakala minat belian dijangka kembali ketika harga rendah, terutamanya bagi saham yang mempunyai fundamental yang kukuh."

“Oleh itu, indeks penanda aras berkemungkinan kekal dalam jajaran kecil, dalam lingkungan 1,720-1,750 minggu depan," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI didagangkan sebahagian besarnya lebih rendah, menjejaki prestasi pasaran tunai yang mendasari.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Februari 2026 turun 5.0 mata kepada 1,732.50, Mac 2026 merosot 4.5 mata kepada 1,711.0, Jun 2026 berkurangan 3.5 mata kepada 1,715.0 dan kontrak baharu September 2026 pada 1,704.50. 

Jumlah dagangan bagi minggu baru berakhir menguncup kepada 29,058 lot daripada 200,166 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka merosot kepada 42,726 kontrak daripada 53,250 kontrak dicatatkan sebelum ini.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 8.05 mata kepada 1,732.83 daripada 1,740.88 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan