PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Dipacu Pengukuhan Domestik, Kenaikan Harga Minyak

05/02/2026 09:43 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 5 Feb  (Bernama) -- Ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Khamis, disokong oleh pengukuhan domestik serta kenaikan semula harga minyak, ketika dolar AS bergerak mendatar susulan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9270/9370 berbanding dolar AS daripada paras 3.9305/9345 ketika ditutup pada Rabu.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata data daripada automatic data processing (ADP) AS menunjukkan pekerjaan sektor swasta meningkat 22,000 pada Januari, lebih rendah daripada anggaran konsensus 46,000 dan susut daripada 37,000 pada Disember, menandakan momentum pengambilan pekerja yang lebih perlahan dalam pasaran buruh AS.

Bagaimanapun, pertumbuhan gaji bagi pekerja yang kekal dalam pekerjaan kekal tinggi pada 4.5 peratus tahun ke tahun, mencerminkan tekanan kos buruh yang masih berterusan.

Dalam pada itu, indeks pengurus pembelian (PMI) perkhidmatan dan komposit S&P Global kekal melepasi paras 50 mata, menandakan pengembangan berterusan, manakala indeks perkhidmatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) tidak berubah pada 53.8 pada Januari.

“Meskipun ekonomi AS masih menunjukkan pertumbuhan, kelembapan dalam pasaran buruh telah mengekang momentum dolar AS dalam jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran dijangka kekal dalam mod berhati-hati susulan perkembangan geopolitik, dengan pelabur memantau rapat rundingan yang dirancang antara AS dan Iran.

“Harga minyak mentah Brent meningkat lebih tiga peratus kepada US$69.46 setong susulan ketegangan antara AS dan Iran yang kembali memuncak kebelakangan ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan AS dan Iran dijadualkan mengadakan rundingan di Oman pada Jumaat susulan insiden dron Iran yang ditembak jatuh awal minggu ini.

Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain. Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3584/3720 daripada 5.3887/3942, meningkat berbanding euro kepada 4.6346/6464 daripada 4.6443/6490, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5025/5091 daripada 2.5091/5118.

Berbanding mata wang serantau, ringgit juga kebanyakannya lebih kukuh. Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0846/0929 daripada 3.0912/0946, naik berbanding baht Thailand kepada 12.3716/4125 daripada 12.4206/4391, dan meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 234.0/234.7 daripada 234.2/234.6.

Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.66/6.68.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan