PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Cenderung Meningkat Susulan Permintaan Eksport Yang Lebih Kukuh

17/01/2026 11:29 AM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi dan Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan, disokong oleh peningkatan permintaan eksport minyak sawit baru-baru ini dan jangkaan pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan dalam beberapa minggu akan datang.

Peniaga proprietari berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata prestasi eksport lebih kukuh telah membantu menyokong sentimen pasaran, manakala pertumbuhan bekalan diunjurkan menyederhana apabila faktor bermusim mula memberi kesan.

“Tinjauan pengeluaran yang lebih perlahan, ditambah pula dengan peningkatan permintaan eksport, dijangka memberikan sokongan asas kepada harga dalam jangka masa terdekat.

“Bagaimanapun, keadaan turun naik mungkin berterusan disebabkan oleh pergerakan minyak pesaing dan perkembangan makroekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga dijangka bergerak antara RM4,000 dan RM4,150 satu tan minggu depan.

Sementara itu, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies, Jim Teh berkata niaga hadapan MSM akan didagang dengan kecenderungan menurun kerana stok MSM negara yang tinggi, menurut penganalisis akan mencecah kira-kira tiga juta tan.

“Kami akan menunggu laporan statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan dikeluarkan bulan depan,” katanya.

Teh berkata bahawa permintaan fizikal akan datang dari China, India, Pakistan, Timur Tengah dan Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat.

“Jadi harga yang lebih rendah ini akan memberi peluang kepada pembeli fizikal untuk membeli pada tahap harga yang menarik ini dan dalam cara untuk membantu kita membersihkan kedudukan stok tinggi,” katanya.

Selain Malaysia, Indonesia juga mempunyai bekalan minyak sawit mentah mencukupi, mengakibatkan lebihan stok minyak sawit untuk kedua-dua negara, katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Januari 2026 meningkat RM76 kepada RM4,026 setan, Februari 2026 meningkat RM46 kepada RM4,057 setan, dan Mac 2026 meningkat RM36 kepada RM4,072 satu tan.

Kontrak April 2026 meningkat sedikit RM30 kepada RM4,079 setan, Mei 2026 menokok RM29 kepada RM4,082 satu tan dan Jun 2026 meningkat RM33 kepada RM4,077 setan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 539,268 lot daripada 395,181 lot minggu lepas, manakala minat terbuka menurun kepada 249,340 kontrak daripada 260,191 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal baharu untuk Januari Selatan meningkat RM40 kepada RM4,050 satu tan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan