Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS hari ini apabila kebimbangan berhubung ura-ura pentadbiran bebas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) telah menjejaskan dolar Amerika.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0605/0660 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0700/0765 pada Jumaat minggu lepas.
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kebimbangan terhadap pentadbiran bebas Fed telah menjejaskan aset Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penurunan indeks dolar AS (DXY) serta peningkatan mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit.
“Bagi Malaysia, pasaran bon AS kekal sebagai teras utama. Hasil Perbendaharaan telah stabil, menandakan bahawa situasi ini masih dianggap sebagai kejutan politik dan bukannya gangguan dalam rejim monetari. Selagi hasil kekal terkawal, pasaran pertukaran asing Asia akan terus bertahan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek turut berkata peningkatan harga minyak berikutan pergolakan di Iran telah menyokong kedudukan perdagangan Malaysia, tetapi menegaskan bahawa harga tenaga yang lebih tinggi juga meningkatkan risiko inflasi global yang kelaknya akan memihak kepada dolar AS.
"Buat masa ini, ketidakpastian berhubung situasi Fed merupakan pemacu utama yang menyokong kekukuhan ringgit," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5717/5754 daripada paras penutup 2.5888/5935 pada Jumaat, susut berbanding pound British kepada 5.4630/4704 daripada 5.4579/4666, dan turun berbanding euro kepada 4.7435/7499 daripada 4.7383/7459.
Bagaimanapun ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1567/1613 daripada paras penutup 3.1629/1682 pada Jumaat, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 240.9/241.3 daripada 241.9/242.4, dan menambah berbanding peso Filipina kepada 6.85/6.86 daripada 6.87/6.88 dam susut berbanding baht Thailand kepada 12.9961/13.0195 daripada 12.9474/9738 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial