Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Ringgit melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh lima tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Rabu, disokong penurunan mata wang itu susulan penyusutan Indeks Dolar AS (DXY).
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu melonjak kepada 4.0490/0710 berbanding dolar AS daripada paras 4.0615/0665 ketika ditutup semalam.
Ringgit sebelum ini pernah mencecah paras 4.0490/0530 pada 3 Mac 2021.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY susut 0.39 peratus kepada 97.903 mata selepas Conference Board melaporkan keyakinan pengguna AS merosot kepada 89.1 mata pada Disember daripada 92.9 mata pada November, lebih rendah berbanding anggaran konsensus sebanyak 91.7 mata.
Beliau berkata ringgit ditutup 0.39 peratus lebih tinggi berbanding dolar AS pada paras 4.06 semalam.
“Sehubungan itu, ringgit berpotensi mengekalkan momentum positifnya, disokong oleh data ekonomi terkini AS,” katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5934/6076 daripada paras 2.6039/6072 ketika ditutup pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4718/5015 daripada 5.4851/4918, serta mengukuh berbanding euro kepada 4.7762/8022 daripada 4.7901/7960.
Mata wang tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang serantau ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1524/1701 daripada 3.1607/1648, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0126/0921 daripada 13.0486/0705, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 241.2/242.6 daripada 241.9/242.3 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.92 daripada 6.90/6.91 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial