Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Jumaat, menjejaki kenaikan di pasaran serantau, disokong oleh pengukuhan ringgit yang meningkatkan sentimen pasaran susulan prestasi positif Wall Street semalaman.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.09 mata atau 0.19 peratus kepada 1,649.99 daripada 1,646.90 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.15 mata lebih tinggi pada 1,648.05.
Sentimen pasaran adalah positif dengan 187 kaunter untung mengatasi 110 kaunter rugi. Sebanyak 299 kaunter tidak berubah, manakala 2,182 tidak diniagakan dan 16 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 151.83 juta saham bernilai RM72.55 juta.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.12 peratus kepada 25,498.13, Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.93 peratus kepada 49,459.35, Indeks Kospi Korea Selatan menokok 0.33 peratus kepada 4,007.65, manakala Indeks Straits Times Singapura susut 0.11 peratus kepada 4,570.61.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pengukuhan ringgit yang kini diniagakan sekitar RM4.08 berbanding dolar AS berpotensi menarik aliran masuk dana asing baharu.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,645 hingga 1,660 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0820/0940 berbanding dolar AS 4.0840/0880 ketika ditutup pada Khamis.
Thong turut berkata Wall Street ditutup lebih tinggi semalaman selepas Indeks Harga Pengguna (CPI) AS bagi November mencatat bacaan di bawah jangkaan, sekali gus meningkatkan prospek penurunan kadar faedah selanjutnya.
“Seiring dengan data pasaran pekerjaan yang lemah kebelakangan ini, ramai menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan terus melonggarkan dasar monetarinya,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM10.34, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.44, CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing mendatar pada RM7.88 dan RM13.30, manakala IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM8.51.
Bagi saham paling aktif, Velesto dan Pharmaniaga masing-masing tidak berubah pada 28 sen dan 26 sen. Omesti susut setengah sen kepada lapan sen, manakala Insight Analytics melonjak 4.5 sen kepada 99 sen dan Magma naik setengah sen kepada 36.5 sen.
Dalam senarai kaunter untung utama, Fraser and Neave meningkat 28 sen kepada RM35.88, United Malacca menambah 15 sen kepada RM5.89, Petronas Dagangan naik 14 sen kepada RM19.54, Nestle meningkat 10 sen kepada RM116, dan AEON Credit naik tujuh sen kepada RM5.62.
Sementara itu, antara kaunter rugi, United Plantations merosot 24 sen kepada RM29.48, manakala Petronas Chemicals dan Negri Sembilan Oil Palms masing-masing susut lima sen kepada RM3.52 dan RM5.75. Solarvest dan Press Metal Aluminium pula masing-masing turun empat sen kepada RM3.16 dan RM6.96.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 19.95 mata kepada 12,137.44, Indeks FBMT 100 naik 20.06 mata kepada 11,929.72, Indeks FBM ACE melonjak 9.11 mata kepada 4,788.10, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 17.55 mata kepada 11,994.79, dan Indeks FBM 70 meningkat 18.02 mata kepada 16,733.67.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 13.60 mata kepada 8,248.51, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 41.36 mata kepada 19,196.41, manakala Indeks Tenaga susut 1.87 mata kepada 763.0 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.50 mata kepada 170.41.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial