PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Susut Pada Akhir Sesi Dagangan Pagi

27/11/2025 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia menyusut pada sesi akhir dagangan pagi hari ini, berikutan pelabur mengambil langkah berhati-hati dan menghentikan aktiviti pembelian pada harga rendah, meskipun pasaran serantau menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.96 mata, atau 0.24 peratus kepada 1,620.54 berbanding paras 1,624.50 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu yang dibuka 2.66 mata lebih tinggi pada 1,627.16, bergerak antara 1,617.76 dan 1,629.26 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran secara meluas kekal negatif, dengan 602 kaunter rugi mengatasi 357 kaunter untung. Sebanyak 521 kaunter tidak berubah, 1,296 tidak didagangkan dan 82 digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.92 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ketika ini berlaku aktiviti pengambilan untung di bursa tempatan yang dipengaruhi oleh peningkatan turun naik pasaran global.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.98, Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM13.22, IHH menokok 30 sen kepada RM8.37, manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.37 dan CIMB turun lapan sen kepada RM7.52.

Bagi saham paling aktif, MTouche turun 1.5 sen kepada empat sen, Nationgate dan Zetrix masing-masing susut satu sen kepada 98.5 sen dan 82.5 sen, VS Industries kekal pada 48 sen, sementara Tanco menambah tiga sen kepada RM1.12.

Kaunter untung utama termasuk F&N yang naik 60 sen kepada RM34.20, Dutch Lady meningkat 54 sen kepada RM29.68, Time Dotcom menambah 43 sen kepada RM5.20, BLD Plantation naik 30 sen kepada RM14.90, dan ITMAX meningkat 25 sen kepada RM4.75.

Kaunter rugi utama pula menyaksikan Petronas Dagangan susut 96 sen kepada RM19.86, Nestle turun 70 sen kepada RM109.10, Petronas Gas merosot 52 sen kepada RM17.76, KL Kepong lemah 30 sen kepada RM20.30, dan Sunway turun 18 sen kepada RM5.37.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 14.45 mata kepada 12,035.03, Indeks FBM Emas Shariah naik 3.38 mata kepada 12,004.07, manakala Indeks FBMT 100 merosot 11.91 mata kepada 11,817.34.

Sementara itu, Indeks FBM Mid 70 pula meningkat 56.58 mata kepada 17,020.36, manakala Indeks FBM ACE susut 52.37 mata kepada 4,852.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurang 45.71 mata kepada 18,604.55, Indeks Perladangan turun 47.72 mata kepada 8,151.40, Indeks Tenaga naik 1.62 mata kepada 756.91, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.35 mata kepada 164.37.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan