PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Akhiri Peningkatan Dua Hari Berturut-turut

20/11/2025 10:05 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri kenaikan selama dua hari apabila ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang memberi kesan kepada sentimen pasaran, kata peniaga.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata eksport minyak sawit yang lemah terus menjejaskan momentum kenaikan pasaran.

“Harga MSM boleh menyaksikan gelombang harga yang lebih tinggi pada suku pertama 2026. Dalam tempoh pengeluaran minyak sawit yang rendah secara bermusim, MSM dijangka diniagakan antara RM4,500 hingga RM4,600 satu tan,” katanya.

Sathia berkata pengeluaran minyak sawit tahunan Malaysia secara umumnya mendatar, menjadikan Indonesia sebagai penyumbang utama kepada peningkatan global.

“Pengeluaran minyak sawit global dijangka mencecah 83.22 juta tan pada 2025 hingga 2026 daripada 80.39 juta tan atau pertumbuhan sebanyak 2.83 juta tan,” katanya.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya yang lemah serta permintaan yang dijangka perlahan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, turut menjejaskan sentimen pasaran.

“Oleh itu, kita melihat paras sokongan pada RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,280 satu tan,” katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak Disember 2025 dan Mei 2026 masing-masing menyusut RM66 kepada RM4,112 dan RM4,174 satu tan manakala Januari dan Februari 2026 masing-masing berkurangan RM71 kepada RM4,139 dan RM4,155 satu tan.

Kontrak Mac 2026 merosot RM70 kepada RM4,170 satu tan, dan April 2026 rendah RM68 kepada RM4,177 satu tan.

Jumlah dagangan menguncup kepada 70,608 lot daripada 83,103 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 278,925 kontrak daripada 274,629 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan menyusut RM40 kepada RM4,150 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan