Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) --Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan kukuh minggu depan, dengan para peniaga menyasarkan lantunan semula dalam lingkungan US$4,160 hingga US$4,210 setiap auns troy.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata beberapa pengumuman data penting akan dibuat susulan pembukaan semula operasi kerajaan Amerika Syarikat termasuk petunjuk pekerjaan dan inflasi, yang dijangkakan lebih lemah oleh pasaran.
"Data AS yang lebih lemah berkemungkinan akan menyebabkan hasil Perbendaharaan menjadi lebih rendah, seterusnya mencetuskan semula jangkaan penurunan kadar pada awal 2026 yang memberi ruang kepada emas untuk pulih semula.
“Penurunan logam kuning itu baru-baru ini nampaknya adalah aktiviti penjualan oleh peniaga dan bukannya perubahan dalam trend,” katanya kepada Bernama.
Innes berkata prospek bagi jongkong emas kekal positif, dengan pelabur memantau hasil sebenar AS, kelemahan dolar dan pengumuman data yang akan datang.
“Jika data itu menunjukkan ekonomi AS yang semakin perlahan, emas berkedudukan baik untuk pulih semula pada minggu depan,” katanya.
Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta November 2025 meningkat kepada US$4,177.30 setiap auns troy daripada US$4,022.60 setiap auns troy, kontrak Disember 2025 naik kepada US$4,194.50 setiap auns troy daripada US$4,039.90 setiap auns troy dan kontrak Januari 2026 menokok kepada US$4,213.10 setiap auns troy daripada US$4,058.60 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih tinggi pada US$4,228.10 setiap auns troy daripada US$4,074.50 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 274 lot daripada 379 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 218 kontrak daripada 132 kontrak.
Emas fizikal berharga pada US$4,195.65 setiap auns troy, menurut penetapan petang Persatuan Pasaran Bullion London pada 13 November 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial