PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Meningkat Semula Untuk Ditutup Tinggi, Disokong Saham Perbankan, Pengguna

13/11/2025 07:07 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengalami sesi dagangan yang tidak menentu namun ditutup sedikit tinggi pada Khamis, meningkat semula daripada penurunan semalam, apabila disokong saham perbankan dan pengguna.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.66 mata kepada 1,632.27 daripada 1,631.61 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 2.18 mata lebih tinggi kepada 1,633.79 sebelum berlegar antara 1,631.15 hingga 1,635.27 sepanjang dagangan.

Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhannya hambar apabila 550 kaunter rugi mengatasi 480 kaunter untung, manakala 599 kaunter tidak berubah, 1,110 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.95 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 3.42 bilion unit bernilai RM2.85 bilion semalam.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata indeks itu dibuka kukuh sebelum sedikit menyusut pada sebelah petang, namun sentimen pelabur kekal positif.

“Keyakinan terus meningkat, seperti yang dapat dilihat apabila pelabur asing menjadi pembeli bersih dari Isnin hingga Rabu minggu ini, walaupun ringgit meneruskan trend pengukuhan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di peringkat global, sentimen pelabur bertambah baik selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) dibuka semula apabila rang undang-undang pembiayaan kerajaan diluluskan di Dewan Perwakilan yang kemudiannya ditandatangani oleh Presiden Donald Trump.

Perkembangan itu mengakhiri risiko jangka masa pendek dan membolehkan penyambungan semula penerbitan data ekonomi rasmi AS secara beransur-ansur, katanya.

Kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing naik satu sen kepada RM9.95 dan RM8.25, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.30, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM13.50, manakala CIMB susut dua sen kepada RM7.57.

Bagi kaunter paling aktif, VS Industry naik 3.5 sen kepada 50.5 sen, Tanco meningkat setengah sen kepada 94.5 sen, manakala TWL, Genting Malaysia dan Zetrix AI masing-masing kekal pada 2.5 sen, RM2.35 dan 85 sen.

Antara kaunter paling untung, Fraser & Neave melonjak RM1.36 kepada RM32.40 dan Dutch Lady meningkat RM1.32 kepada RM28.60. Amway dan Ajinomoto masing-masing menokok 18 sen kepada RM4.99 dan RM14.00.

Antara kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries merosot 40 sen kepada RM30.60, United Plantations susut 24 sen kepada RM26.00, Petronas Dagangan turun 22 sen kepada RM22.44, manakala Sungei Bagan dan Dufu Technology masing-masing menguncup 11 sen kepada RM5.61 dan RM1.94.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 5.60 mata kepada 11,872.34, Indeks FBM Emas meningkat 3.79 mata kepada 12,109.52 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 8.23 mata kepada 12,130.96.

Indeks FBM ACE menokok 7.93 mata kepada 5,072.60 dan Indeks FBM Mid 70 naik 11.44 mata kepada 16,966.91.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 17.63 mata kepada 8,155.85, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 38.07 mata kepada 18,465.93, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.78 mata kepada 168.51, manakala Indeks Tenaga kurang 1.28 mata kepada 756.81.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.55 bilion unit bernilai RM2.29 bilion daripada 1.48 bilion unit bernilai RM2.45 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 2.03 bilion unit bernilai RM342.36 juta daripada 1.55 bilion unit bernilai RM221.58 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 360.12 juta unit bernilai RM139.57 juta berbanding 578.30 juta unit bernilai RM179.56 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 372.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (323.20 juta), pembinaan (78.03 juta), teknologi (236.22 juta), perkhidmatan kewangan (51.56 juta), hartanah (200.72 juta), perladangan (30.94 juta), amanah pelaburan hartanah (21.43 juta), dana tertutup (42,400), tenaga (65.75 juta), penjagaan kesihatan (55.76 juta), telekomunikasi dan media (35.34 juta), pengangkutan dan logistik (43.77 juta), utiliti (40.61 juta), serta amanah perniagaan (75,600).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan