KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan sesi pagi dengan pergerakan meningkat pada Isnin, menjejaki prestasi kukuh di Wall Street pada Jumaat lepas.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.53 mata atau 0.59 peratus kepada 1,618.68 daripada 1,609.15 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.64 mata lebih tinggi kepada 1,610.79 dan bergerak antara 1,608.85 hingga 1,619.95 sepanjang dagangan pagi.
Bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah negatif dengan 600 kaunter rugi mengatasi 433 kaunter untung, manakala 483 kaunter tidak berubah, 1,121 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.93 bilion unit bernilai RM1.22 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan momentum positif di Wall Street dijangka memberi kesan limpahan kepada pasaran tempatan, sekali gus mendorong prestasi lebih kukuh kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Kami percaya ini akan menyokong minat belian dalam sektor teknologi, dengan tumpuan kepada kaunter yang mengalami momentum tinggi.
“Rintangan dilihat pada julat 1,629 hingga 1,634, manakala paras sokongan kekal pada 1,594 hingga 1,599,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.89, CIMB Group meningkat 10 sen kepada RM7.40, dan IHH Healthcare Bhd melonjak 13 sen kepada RM8.38, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional kekal masing-masing tidak berubah pada RM4.22 dan RM13.28.
Bagi kaunter paling aktif, Dagang Nexchange naik dua sen kepada 32.5 sen dan Tanco Holdings menokok satu sen kepada 94.5 sen, manakala Borneo Oil kekal pada setengah sen, Perak Transit susut 2.5 sen kepada 31.5 sen, dan Zetrix AI turun dua sen kepada 82.5 sen.
Antara kaunter paling untung Malaysian Pacific melonjak 80 sen kepada RM30.80, United Plantations meningkat 44 sen kepada RM25.24, Hong Leong Industries dan Hong Leong Bank masing-masing menambah 30 sen kepada RM14.06 dan RM20.86, manakala UMS Integration naik 22 sen kepada RM5.03.
Bagi kaunter paling rugi, MMAG Holdings merosot 20 sen kepada 26 sen, Pentamaster Corporation susut 17 sen kepada RM4.12, Perak Corporation turun 14.5 sen kepada 80 sen, Petronas Dagangan menguncup 14 sen kepada RM22.54, dan MISC kurang 13 sen kepada RM7.66.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 47.34 mata kepada 12,070.70, Indeks FBMT 100 menambah 51.18 mata kepada 11,812.35, dan Indeks FBM Emas Syariah naik 39.33 mata kepada 12,137.44.
Sementara itu, Indeks FBM 70 susut 5.90 mata kepada 17,050.17, manakala Indeks FBM ACE kurang 26.97 mata kepada 5,194.42.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 114.13 mata kepada 18,237.30, Indeks Perladangan menokok 71.03 mata kepada 8,058.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.33 mata kepada 171.94, dan Indeks Tenaga naik 1.36 mata kepada 772.60.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial