KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya pada tengah hari ketika pelabur terus ligat memburu saham-saham berharga rendah, terutama sektor barangan pengguna, kewangan dan utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.34 mata atau 0.15 peratus kepada 1,613.88 berbanding penutupan Rabu pada paras 1,611.54.
Indeks petunjuk utama itu dibuka 2.62 mata lebih tinggi pada 1,614.16 dan bergerak 1,611.83 hingga 1,615.18 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran bagaimanapun kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 546 berbanding 318, sejumlah 474 tidak berubah, 1,372 tidak diniagakan manakala 101 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.35 bilion saham bernilai RM1.17 bilion.
Firma pembrokeran, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota tinjauannya berkata FBM KLCI dijangka diniagakan pada asas lebih kukuh susulan pertemuan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping hari ini.
Selain itu, prestasi kewangan pasca pasaran Google yang mengatasi jangkaan, juga berpotensi memacu sentimen dalam sektor teknologi.
Firma itu turut mengunjurkan sektor REIT serta pengguna akan terus mencatat prestasi cemerlang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, disokong oleh peruntukan pelancongan sebanyak RM700 juta di bawah Belanjawan 2026.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan IHH Healthcare masing-masing naik satu sen kepada RM9.88 dan RM8.26, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.21 manakala CIMB Group and Tenaga Nasional kekal pada RM7.38 dan RM13.30.
Kaunter paling aktif, TWL Holdings dan Borneo Oil tidak berubah pada 2.5 sen dan setengah sen manakala Perak Transit merosot dua sen kepada 36.5 sen, Zetrix AI turun setengah sen kepada 81 sen dan Top Glove rugi 2.5 sen kepada 62 sen.
Bagi kaunter paling untung setakat ini, Nestle melonjak RM1.90 kepada RM111.10, LPC Group yang mula disenaraikan di Pasaran LEAP, naik 40 sen kepada 50 sen, United Plantations meraih 36 sen kepada RM24.64, Chin Teck Plantations menokok 24 sen kepada RM11.56 dan Petronas Dagangan meningkat 22 sen kepada RM22.52.
Sebaliknya saham paling rugi adalah Malaysian Pacific yang susut 84 sen kepada RM30.28, Allianz Malaysia turun 18 sen kepada RM17.88 manakala Heitech Padu, Southern Cable Group dan Sunway masing-masing turun lapan sen kepada RM1.92, RM2.04 dan RM5.40.
Di papan indeks pula Indeks FBM Emas turun 6.31 mata kepada 12,047.39, Indeks FBMT 100 susut 2.57 mata kepada 11,789.98, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 21.14 mata kepada 12,118.43, Indeks FBM 70 merosot 89.14 kepada 17,072.85 dan Indeks FBM ACE menguncup 40.96 mata kepada 5,184.60.
Prestasi mengikut sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.56 mata kepada 18,198.16, Indeks Perladangan menokok 27.67 mata kepada 7,989.66 manakala Indeks Tenaga susut 6.55 mata kepada 768.47 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.84 mata kepada 171.33.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial