KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal positif minggu depan, didorong oleh ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat, yang mendorong peningkatan permintaan terhadap logam yang dianggap aset selamat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perak, platinum dan paladium juga meningkat, menunjukkan bahawa peniaga serta pelabur sedang mencari perlindungan dalam logam berharga.
“Berdasarkan itu, harga emas dijangka kekal sekitar US$3,950 hingga US$4,000 setiap auns troy minggu depan,” katanya kepada Bernama.
“Bagi asas mingguan, kontrak semerta bulan Oktober 2025 mengukuh kepada US$3,998.20 setiap auns troy daripada US$3,872.8 minggu lepas, kontrak November 2025 meningkat kepada US$4,014.40 setiap auns troy daripada US$3,891.0, dan kontrak Disember 2025 menokok kepada US$4,031.40 setiap auns troy daripada US$3,905.90 sebelumnya.
Kontrak Januari 2026 lebih tinggi pada US$4,048.40 setiap auns troy daripada US$3,922.90, manakala kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya berada lebih tinggi pada US$4,065.30 setiap auns troy berbanding dengan US$3,939.80 setiap auns troy minggu lepas.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 2,797 lot daripada 1,328 minggu lepas, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 995 kontrak daripada 259 sebelumnya.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 9 Okt, 2025, emas fizikal berada pada US$4,019.25 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial