PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Sebelum Menyusut

19/09/2025 10:59 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit sebelum menyusut walaupun Wall Street mencatat prestasi positif semalaman berikutan pelabur menilai perubahan dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat ke arah pelonggaran untuk merangsang pertumbuhan ekonomi berbanding membendung inflasi.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.25 mata atau 0.07 peratus kepada 1,597.68 daripada 1,598.93 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 0.06 mata kepada 1,598.99.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 197 berbanding 111 manakala 257 kaunter tidak berubah, 2,083 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 204.51 juta unit bernilai RM91.01 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tidak menjangka penyusutan penjualan semalam di tengah-tengah beberapa aktiviti pengambilan untung, walaupun terdapat jangkaan bahawa bursa tempatan akan kekal menerima sokongan baik.

“Bagaimanapun, kami melihat situasi ini sebagai pembetulan sementara dan yakin pembelian saham pada harga rendah akan berlaku tidak lama lagi.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan bergerak dalam julat 1,600-1,610 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.85 dan CIMB berkurangan dua sen kepada RM7.30.

Public Bank dan IHH masing-masing naik satu sen kepada RM4.26 dan RM7.32 manakala Tenaga menokok dua sen kepada RM13.30.

Dagangan aktif menyaksikan TWL dan Zetrix Ai masing-masing rendah setengah sen kepada 2.5 sen dan 86.5 sen, NexG meningkat satu sen kepada 49.5 sen, 3Ren menambah 1.5 sen kepada 41 sen dan HHRG tidak berubah pada 12 sen.

Kaunter paling rugi antaranya Petronas Dagangan yang menyusut 60 sen kepada RM22.34, Petronas Gas rendah lapan sen kepada RM18.20, Kim Hin susut enam sen kepada 70.5 sen, Go Hub rendah 5.5 sen kepada 81.5 sen dan Sunway Construction berkurangan lima sen kepada RM6.30.

Antara kaunter paling untung adalah Nestle yang meningkat RM1 kepada RM96.00, MPI naik 34 sen kepada RM28.88, Fraser & Neave menambah 16 sen kepada RM26.96, UWC melonjak 14 sen kepada RM3.47 dan United Malacca menokok 10 sen kepada RM5.50.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas menambah 6.11 mata kepada 11,894.02, Indeks FBMT 100 naik 4.01 mata kepada 11,644.26 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.45 mata kepada 11,923.55.

Indeks FBM 70 meningkat 63.64 mata kepada 16,743.38 manakala Indeks FBM ACE naik 7.29 mata kepada 4,878.97.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.32 mata kepada 167.01, Indeks Perladangan naik 12.36 mata kepada 7,744.93, Indeks Tenaga menambah 1.62 mata kepada 754.67, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.29 mata kepada 18,086.67.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan