KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran kenaikan semalam apabila dibuka lebih tinggi pada hari ini, didorong oleh minat belian yang terus ketara.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.17 mata kepada 1,576.87 selepas mencatat 1,576.70 pada akhir dagangan semalam.
Namun, sewaktu dibuka pagi ini, indeks penanda aras itu susut 1.47 mata kepada 1,575.23.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 194 berbanding 117 manakala 273 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,974 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 972.51 juta saham bernilai RM75.13 juta.
Pasaran juga memberi reaksi positif terhadap Bursa Malaysia menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) esok walaupun Wall Street mencatat prestasi lebih lemah, diasak ketidaktentuan baharu berkaitan tarif.
Dalam pada itu, pasaran serantau turut mencatat prestasi yang bercampur-campur ketika memulakan dagangan hari ini.
Setakat pagi ini, Indeks Komposit Indonesia (IDX) naik 0.85 peratus kepada 7,801.58, Indeks Kospi Korea Selatan menambah 0.20 peratus kepada 3,176.94 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong meraih 0.85 peratus kepada 25,713.89.
Namun, Indeks Straits Times Singapura susut 0.30 peratus kepada 4,285.62, Indeks Nikkei 225 Jepun turun 0.42 peratus kepada 42,133.01 dan Indeks Komposit SSE China menguncup 0.41 peratus kepada 3,842.41.
Sementara itu, firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata pelabur terus memaparkan sikap berhati-hati selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berikrar untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah Persekutuan negara itu bahawa sebahagian besar tarif yang dikenakan adalah tidak sah.
“Peningkatan hasil bon sebaliknya menekan sektor yang sensitif terhadap kadar faedah manakala data inflasi yang masih tinggi selain kegelisahan berterusan terhadap hala tuju pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS hanya menjadikan sentimen pasaran kekal tidak menentu.
“Tumpuan kini beralih kepada data Laporan Tinjauan Tawaran Awal Pekerjaan dan Peralihan Tenaga Kerja (JOLTS) AS bagi Julai yang akan diumumkan pada lewat hari ini," katanya menerusi nota penyelidikannya.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM13.26, Maybank dan Public Bank masing-masing susut dua sen kepada RM10.04 dan RM4.28 manakala CIMB Group dan IHH Healthcare pula masing-masing turun satu sen kepada RM7.23 dan RM6.79.
Bagi saham aktif, Magma Group naik setengah sen kepada 31.5 sen, Oppstar menambah 7.5 sen kepada 55.5 sen, Zetrix AI meraih satu sen kepada 86.5 sen manakala Perak Transit dan TA Win Holdings kekal tidak berubah pada 69 sen dan 1.5 sen masing-masing.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 10.92 mata kepada 11,700.23, Indeks FBMT 100 menokok 9.81 mata kepada 11,474.00 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 23.93 mata kepada 11,653.22.
Indeks FBM 70 melonjak 52.03 mata kepada 16,416.55 dan Indeks FBM ACE meraih 14.80 mata kepada 4,691.92.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.79 mata kepada 162.15, Indeks Perladangan naik 9.14 mata kepada 7,594.62, Indeks Tenaga meraih 5.45 mata kepada 744.35 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 27.61 mata kepada 18,119.20.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial