PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Rendah Berikutan Penurunan Harga Minyak

15/07/2025 05:45 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pasar getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini berikutan penurunan dalam harga minyak mentah selepas pasaran terjejas oleh amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke atas Rusia agar menamatkan Perang Ukraine dalam tempoh 50 hari selain mengancam sekatan ke atas pembeli minyak Rusia, kata seorang peniaga.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent telah jatuh sebanyak 0.69 peratus kepada US$68.73 setong.

Peniaga itu menjelaskan sentimen pasaran turut dilemahkan oleh ketidakpastian yang tinggi terhadap tarif AS dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

"Trump mengumumkan tarif perdagangan yang agak tinggi ke atas ekonomi-ekonomi utama pada minggu sebelum ini, yang terbaharu adalah pengenaan tarif 30 peratus ke atas Mexico dan Kesatuan Eropah," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa kerugian selanjutnya dalam pasaran getah telah dihadkan oleh rentetan data ekonomi China yang positif. 

"Dilaporkan bahawa data keluaran dalam negara kasar menunjukkan ekonomi China melonjak daripada jangkaan pada suku kedua, ia menokok 5.2 peratus dari tahun ke tahun, melangkaui  ramalan 5.1 peratus sebelumnya.

Manakala, pertumbuhan untuk enam bulan pertama 2025 berada pada 5.3 peratus, melepasi sasaran tahunan Beijing sebanyak lima peratus," katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (MRB) melaporkan bahawa SMR 20 menurun sebanyak 1.5 sen kepada 716.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 564.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan