KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi Khamis dengan prestasi sederhana apabila pelabur mencerna pengumuman terkini berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS), terutamanya berhubung Malaysia, serta penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR), meskipun prestasi pasaran serantau lebih kukuh.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sedikit sebanyak 0.23 mata kepada 1,529.47 daripada 1,529.24 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.19 mata lebih tinggi kepada 1,531.43 pada awal dagangan.
Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan sedikit negatif, dengan 394 kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 382, manakala 484 kaunter tidak berubah, 1,158 tidak diniagakan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.19 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia percaya penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus akan memberi kelebihan kepada kaunter amanah pelaburan hartanah (REIT) memandangkan hasil dividen REIT menjadi lebih menarik berbanding deposit tetap.
Firma pembrokeran itu turut memaklumkan pelabur akan memerhati pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio hari ini, terutamanya berkaitan tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia.
“Sementara itu, bursa tempatan mula menunjukkan tanda-tanda penembusan di bawah purata pergerakan eksponen, sekali gus memberi isyarat potensi trend semasa yang bercampur-campur.
“Histogram penumpuan/perbezaan purata pergerakan (MACD) kekal berada dalam wilayah positif, manakala indeks kekuatan relatif (RSI) mula menurun. Paras rintangan diunjur pada paras 1,544-1,549, manakala paras sokongan pada 1,509-1,514,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.69, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.29, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing berkurangan dua sen kepada RM13.98 dan RM6.65. CIMB menambah lima sen kepada RM6.62.
Bagi saham paling aktif, Sapura Energy dan NexG masing-masing tidak berubah pada empat sen dan 44.5 sen, manakala Eco-Shop naik satu sen kepada RM1.28, Zetrix AI menambah 2.5 sen kepada 98 sen dan Magma meningkat tiga sen kepada 51 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 7.39 mata kepada 11,491.61, Indeks FBMT 100 naik 5.73 mata kepada 11,255.27, manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 8.05 mata kepada 11,478.84.
Indeks FBM 70 meningkat 26 mata kepada 16,660.94, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 8.27 mata kepada 4,488.36.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 20.43 mata kepada 17,525.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.42 mata kepada 152.80, Indeks Tenaga turun 0.1 mata kepada 736.80, dan Indeks Perladangan berkurangan 54.53 mata kepada 7,424.55.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial