Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tidak berubah minggu depan berikutan peserta pasaran menunggu pengumuman data industri utama untuk mendapatkan hala tuju yang lebih jelas.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran dijangka kekal dalam jajaran kecil berikutan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman laporan bekalan dan permintaan bagi Jun oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijadualkan pada 10 Julai.
“Kami menjangkakan harga pada minggu depan diniagakan tidak berubah antara RM3,980 hingga RM4,150 satu tan berikutan peniaga menunggu data baharu sebagai panduan kepada pasaran,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata pasaran akan memantau dengan teliti laporan MPOB minggu depan untuk menilai sejauh mana penurunan pengeluaran minyak sawit berlaku seperti yang dijangka dan kesannya terhadap paras stok akhir bulan.
“Peserta pasaran akan memantau dengan teliti laporan bekalan dan permintaan bagi Jun oleh MPOB untuk mengukur trend pengeluaran, eksport dan stok yang akan menentukan sentimen pasaran pada minggu-minggu akan datang,” katanya.
Bagi asas mingguan, kontrak Julai 2025 menyusut RM9 kepada RM3,995 satu tan manakala Ogos 2025 rendah RM48 kepada RM4,053 satu tan.
September 2025 pula meningkat RM51 kepada RM4,062 satu tan, Oktober 2025 menokok RM53 kepada RM4,064 satu tan, November 2025 bertambah RM48 kepada RM4,065 satu tan dan Disember 2025 naik RM41 kepada RM4,072 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 253,182 lot daripada 267,618 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 226,243 kontrak daripada 224,560 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan meningkat RM30 kepada RM4,050 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial