Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, dipengaruhi ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Peniaga minyak sawit David Ng berkata pengukuhan ringgit menjadikan minyak sawit Malaysia lebih mahal bagi pembeli luar negara, sekali gus mengurangkan permintaan eksport.
"Berikutan pengimport perlu membayar lebih menggunakan mata wang tempatan mereka untuk membeli jumlah minyak sawit yang sama, pembeli mungkin menangguhkan atau mengurangkan pembelian dan ini menjejaskan permintaan," katanya kepada Bernama.
Ng berkata kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran juga dilihat menjejaskan sentimen pasaran.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,900 satu tan dan paras rintangan pada RM4,080,” katanya.
Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa turut menekankan bahawa pengukuhan ringgit berbanding dolar AS menjadi faktor utama yang menekan pasaran.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai susut RM16 kepada RM3,942 satu tan, Ogos 2025 merosot RM16 kepada RM3,963 satu tan, dan September 2025 turun RM18 kepada RM3,968 satu tan.
Kontrak Oktober 2025 berkurangan RM15 kepada RM3,973 satu tan, November 2025 susut RM18 kepada RM3,977 satu tan, dan Disember 2025 turun RM16 kepada RM3,993 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 54,076 lot daripada 30,371 pada Isnin, manakala kepentingan terbuka naik kepada 269,214 kontrak daripada 220,799 sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan turun RM20 kepada RM3,980 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial