KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari disebabkan oleh ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China kembali memuncak, kata penganalisis.
Menurut laporan, China memberi respon terhadap dakwaan Presiden AS Donald Trump bahawa ia telah melanggar perjanjian perdagangan sementara antara kedua-dua negara, manakala Kesatuan Eropah berkata ia membantah kenaikan tarif ke atas import keluli dan aluminium oleh Trump.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 4.89 mata atau 0.32 peratus kepada 1,503.46 daripada 1,508.35 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 4.37 mata lebih tinggi kepada 1,512.72 dan bergerak antara 1,497.42 dengan 1,514.12 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 694 berbanding 225 manakala 373 kaunter tidak berubah, 1,054 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.14 bilion unit bernilai RM1.14 bilion.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata susulan keputusan korporat Mei yang tidak memberangsangkan, ia menjangkakan indeks penanda aras kekal tidak menentu pada bulan Jun selepas jatuh 2.1 peratus pada Mei (setakat ini: -8.2 peratus).
Ini memandangkan sentimen pelabur kekal berhati-hati dalam persekitaran aliran keluar bersih asing yang berterusan ditambah dengan perkembangan dalam landskap politik menjelang pilihan raya negeri Sabah (sehingga akhir 2025).
“Selain itu, kebimbangan mengenai kelembapan global disebabkan tarif dan isu undang-undang melibatkan dasar perdagangan Trump boleh menjejaskan keyakinan pasaran dan memberi tekanan terhadap prospek pertumbuhan dan pendapatan Malaysia,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, QL Resources jatuh 11 sen kepada RM4.39, Axiata merosot empat sen kepada RM2.01, Press Metal Aluminium turun sembilan sen kepada RM4.95, Petronas Chemicals berkurangan enam sen kepada RM3.36 dan Sunway menguncup tujuh sen kepada RM4.68.
Bagi saham aktif, Harvest Miracle Capital, ICT Zone Asia yang baru disenaraikan di Pasaran ACE dan Permaju Industries tidak berubah, masing-masing pada 18 sen, 20 sen dan 1.5 sen manakala Tanco Holdings meningkat satu sen kepada RM1.01, manakala Eco-Shop Marketing susut dua sen kepada RM1.24.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 44.22 mata kepada 11,255.58, Indeks FBMT 100 turun 38.95 mata kepada 11,022.05, Indeks FBM ACE menguncup 65.44 mata kepada 4,485.59, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 54.38 mata kepada 11,201.88 dan Indeks FBM 70 turun 69.27 mata kepada 16,132.23.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 43.21 mata kepada 17,797.32, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 2.05 mata kepada 150.60, Indeks Tenaga susut 8.58 mata kepada 699.46, bagaimanapun Indeks Perladangan naik 16.80 mata kepada 7,224.65.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial