PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Dalam Ketegangan Perdagangan Global

17/04/2025 08:24 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini, didorong oleh kelemahan unit negara maju itu di tengah-tengah ketegangan perdagangan global, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4050/4095 berbanding dolar AS daripada 4.4085/4135 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata situasi berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS) masih menunjukkan ketidaktentuan berikutan lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara-negara ASEAN minggu ini.

“Kelemahan dolar AS agak mengejutkan memandangkan mata wang itu, yang dianggap sebagai mata wang selamat lazimnya akan mengukuh ketika ketidaktentuan meningkat.

“Kedaan dinamik sedemikian akan menyukarkan peniaga dan pelabur untuk membuat keputusan dalam situasi seperti ini,” katanya kepada Bernama.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes pula berkata peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap ringgit hari ini.

Menurutnya dolar AS mula memperlihatkan sedikit pengukuhan semalaman, disokong oleh minat baharu terhadap bon selamat AS sekali gus menjadi isyarat awal keteguhan pasaran bon selepas mengalami naik turun selama berminggu-minggu.

“Selain itu, prestasi positif ini dikaitkan dengan sentimen kecenderungan menaikkan kadar faedah yang tidak dijangkakan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell, yang mendorong hasil lebih tinggi dan memberi sokongan sederhana kepada dolar AS,” katanya.

Mengenai mata wang Asia, Innes berkata perang perdagangan yang tertumpu di China dan tarif 245 peratus yang dikenakan oleh AS memberi bayangan negatif kepada mata wang serantau yang mempunyai hubungan eksport yang erat dengan Beijing.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata yen Jepun mungkin berada dalam kedudukan terbaik berikutan Bank of Japan (BOJ) dijangka menaikkan kadar faedah penanda arasnya pada mesyuarat dasar monetari yang akan datang bermula 30 April hingga 1 Mei 2025.

“Kesatuan pekerja Jepun menuntut kenaikan gaji yang lebih besar tahun ini, dan langkah ini boleh mengekalkan kadar inflasi tinggi yang memerlukan BOJ untuk menaikkan kadar faedah,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0849/0883 daripada 3.0861/0898 semasa ditutup pada Rabu dan naik berbanding pound Britain kepada 5.8331/8391 daripada 5.8488/8554 sebelumnya manakala susut berbanding euro kepada 5.0102/0154 daripada 5.0072/0129 semalam.

Pada masa sama, mata wang tempatan memaparkan prestasi lebih baik berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3562/3601 daripada 3.3537/3578 semasa ditutup pada Rabu, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2211/2417 daripada 13.2547/2773 semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 261.6/262.0 daripada 261.8/262.2 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding peso Filipina kepada 7.77/7.79 daripada 7.76/7.78 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan