PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Meningkat Semula Untuk Akhiri Sesi Dagangan Pagi Dengan Prestasi Tinggi

17/04/2025 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi sedikit selepas permulaan yang lembap pada Khamis, disokong oleh kenaikan dalam saham berwajaran tinggi didahului sektor produk pengguna, telekomunikasi dan perbankan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.86 mata atau 0.53 peratus kepada 1,484.78 daripada 1,476.92 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.75 mata lebih rendah kepada 1,475.17, dan bergerak antara 1,473.21 hingga 1,486.28 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 382 berbanding 355 manakala 419 kaunter tidak berubah, 1,254 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.52 bilion saham bernilai RM760.82 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan Malaysia dan China menandatangani 31 memorandum persefahaman dan dokumen merangkumi pelaburan dan kerjasama dalam pelbagai sektor, yang berpotensi meningkatkan sentimen pasaran, susulan lawatan Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.

“Penerima manfaat mungkin termasuk kaunter berkaitan pembinaan, teknologi, perladangan dan pelancongan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Secara berasingan, firma pembrokeran itu memaklumkan pihaknya juga kekal positif terhadap saham berkaitan keselamatan siber, yang mungkin juga terlindung daripada cabaran tarif Amerika Syarikat.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing naik 4.0 sen kepada RM9.88, RM13.48 dan RM6.86 manakala Public Bank menokok 3.0 sen kepada RM4.33, dan CIMB Group tidak berubah pada RM6.71.

Bagi saham aktif, NEXG menambah 3.5 sen kepada 29.5 sen, MY EG Services dan Pertama Digital masing-masing naik setengah sen kepada 91.5 sen dan 14.5 sen, manakala NationGate dan Bina Puri masing-masing tidak berubah pada RM1.17 dan 34.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 49.01 mata kepada 11,012.74, Indeks FBMT 100 meningkat 48.77 mata kepada 10,798.63, Indeks FBM Emas Shariah menambah 53.72 mata kepada 10,828.63, Indeks FBM 70 menokok 36.41 mata kepada 15,462.51 dan Indeks FBM ACE meningkat 13.82 mata kepada 4,529.05.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 63.09 mata kepada 17,780.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.27 mata kepada 143.75, dan Indeks Tenaga menambah 9.43 mata kepada 656.18.

Sementara itu, Indeks Perladangan turun 4.49 mata kepada 7,180.00.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan