PASARAN > BERITA

RINGGIT DIJANGKA DIDAGANGAN DALAM KEADAAN BERHATI-HATI MINGGU DEPAN

11/05/2024 10:50 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam keadaan berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan memandangkan pelabur mencari petunjuk baharu daripada data ekonomi yang lebih signifikan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran akan meneliti data utama, termasuk data AS mengenai Indeks Harga Pengeluar, Indeks Harga Pengguna dan jualan runcit, untuk membina keyakinan mereka.

“Barisan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) yang akan berkongsi pandangan mereka termasuk Naib Pengerusi Philip Jefferson dan ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) Loretta Mester dan Christopher Waller.

“Saya boleh menyatakan ringgit akan (didagangkan dalam) keadaan berhati-hati dan boleh kekal dalam julat kecil 4.73 hingga 4.74 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peserta pasaran juga akan menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (KDNK) Malaysia bagi suku pertama yang akan dikeluarkan pada 17 Mei.

“Kami mengunjurkan KDNK berkembang pada 4.0 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini didorong permintaan domestik yang mampan dan peningkatan perdagangan global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata data inflasi AS minggu depan berpotensi mencetuskan penjualan ketara dolar AS jika data itu lebih rendah daripada jangkaan.

“Sebaliknya, jika menepati jangkaan, data itu boleh melanjutkan penjualan dolar AS semasa,” katanya.

Beliau berkata pasaran dilihat meneliti banyaknya bukti mengenai kelemahan ekonomi AS sebagai tanda bahawa Fed dijangka bukan sahaja cenderung kepada kadar faedah rendah malah mungkin mempertimbangkan segera potongan kadar pada Julai.

“Walaupun unjuran ini mewakili pandangan yang sangat lemah terhadap dolar AS, ia sejajar dengan data unjuran terkini dan menunjukkan dolar AS akan lemah.

“Justeru, saya menjangkakan ringgit diniagakan dengan kecenderungan yang lebih kukuh minggu depan, dengan mengandaikan ketegangan AS-China tidak akan meningkat lagi.

Beliau berkata ringgit mungkin boleh menguji paras 4.72 minggu depan namun secara konservatif bergerak 4.7350 kepada 4.7550.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, ringgit serta mata wang negara Asean bertindak balas terhadap data pembayaran gaji bukan ladang AS yang rendah berbanding jangkaan baru-baru ini, serta mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia pada 9 Mei, apabila bank pusat memutuskan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.7385/7410 berbanding dolar AS daripada 4.7370/7400 minggu lepas.

Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.9364/9395 daripada 5.9487/9525 minggu lepas dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.0428/0446 daripada 3.0947/0968.

Unit domestik turun berbanding euro kepada 5.1072/1098 daripada 5.0890/0922.

Ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Unit tempatan turun berbanding baht Thailand kepada 12.9009/9137 daripada 12.8723/8850 pada Jumaat minggu lepas, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 295.2/295.6 daripada 294.4/294.8.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5017/5038 daripada 3.5027/5054 minggu lepas, dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26 daripada 8.25/8.27.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan