PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP KUKUH BERBANDING DOLAR US

10/05/2024 07:45 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar US hari ini berikutan selera risiko yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.7385/7410 berbanding dolar US daripada 4.7395/7425 yang disaksikan semalam..

Seorang penganalisis berkata, kejatuhan dalam hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) telah merangsang kedudukan mata wang tempatan hari ini.

“Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 4.45 peratus pada 9 Mei daripada 4.48 peratus yang dicatatkan pada 8 Mei lepas, ini mempengaruhi pergerakan dolar US,” katanya kepada Bernama . 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS tidak begitu memberangsangkan hari ini selepas peniaga mencerna lonjakan dalam angka pengangguran awal AS iaitu 231,000 minggu lepas berbanding hanya  209,000 pada minggu sebelumnya.

“Ini menunjukkan bahawa pasaran buruhnya semakin lemah, memperbaharui harapan untuk pemotongan kadar AS yang mungkin berlaku tahun ini. Walaupun aset berisiko seperti ekuiti meningkat manakala hasil Perbendaharaan AS jatuh, dolar AS masih disokong dengan baik,” katanya kepada Bernama. 

Pada penutup, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.0428/0446 daripada 3.0401/0422 yang dicatatkan pada Khamis, jatuh berbanding pound British kepada 5.9364/9395 daripada 5.9177/9215 dan melemah berbanding euro kepada 5.1072/1098 daripada 5.0855/0887 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit tidak bermaya berbanding dolar Singapura kepada 3.5017/5038 daripada 3.4939/4964 dan merosot nilainya berbanding baht Thailand kepada 12.9009/9137 daripada 12.8303/8436.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 295.2/295.6 daripada 295.3/295.6 semalam dan lebih baik berbanding peso Filipina pada 8.25/8.26 berbanding 8.26/8.27.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan