PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SEDIKIT, TETAPI KEKAL DI ATAS PARAS 1,600 MATA

09/05/2024 06:55 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah sedikit hari ini tetapi masih kekal di atas paras utama 1,600 mata, di tengah-tengah petunjuk yang bercampur-campur daripada prestasi pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FBM KLCI turun 0.22 peratus atau 3.53 mata kepada 1,601.22 berbanding 1,604.75 pada penutup Rabu.

Indeks petunjuk utama, yang dibuka meningkat 1.46 mata kepada 1,606.21, jatuh ke paras rendah 1,599.29 sebelum rehat tengah hari, selepas mencecah paras tertinggi 1,607.38 ketika sesi pagi.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 601 berbanding 458, manakala 532 kaunter tidak berubah, 737 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.65 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 5.39 bilion unit bernilai RM3.57 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata bursa tempatan menyaksikan peningkatan dalam aktiviti pengambilan untung selepas Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus hari ini.

"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan pengukuhan akan terbentuk apabila pelabur mencerna kenaikan baru-baru ini sambil menunggu keputusan pendapatan korporat yang bakal diumumkan pada minggu-minggu akan datang," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata memandangkan aktiviti pengambilan untung berterusan, pelabur telah mengalihkan perhatian mereka kepada saham-saham bermodal kecil.

"Kami percaya keadaan pasaran akan kekal positif, berdasarkan kenaikan dalam saham-saham bermodal kecil," tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.84, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.75, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM12.44, Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM7, manakala Public Bank susut tiga sen kepada RM4.17.

Bagi saham aktif, Harvest Miracle susut satu sen kepada 10.5 sen, MYEG tidak berubah pada 98.5 sen, Pan Malaysia meningkat 7.5 sen kepada 29.5 sen, SNS Network naik 4.5 sen kepada 53 sen, dan Velesto menokok 1.5 sen kepada 29 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 22.57 mata kepada 12,085.27, Indeks FBMT 100 turun 28.03 mata kepada 11,699.37 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 41.83 mata kepada 12,295.74. 

Indeks FBM 70 susut 49.79 mata kepada 16,965.10 manakala Indeks FBM ACE naik 34.44 mata kepada 5,170.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 5.31 mata kepada 17,470.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.27 mata kepada 192.65, Indeks Perladangan turun 38.34 mata kepada 7,462.52 manakala Indeks Tenaga meningkat 7.34 mata kepada 988.65.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.60 bilion unit bernilai RM2.69 bilion berbanding 2.85 bilion unit bernilai RM3.09 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran turut susut kepada 813.67 juta unit bernilai RM108.57 juta berbanding 1.16 bilion unit bernilai RM173.58 juta semalam.

Bagi jumlah dagangan Pasaran ACE pula, ia mengecil kepada 1.23 bilion saham bernilai RM331.95 juta berbanding 1.38 bilion saham bernilai RM307.42 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 683.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (436.03 juta), pembinaan (228.52 juta), teknologi (419.11 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (85.39 juta), hartanah (297.28 juta), perladangan (35.24 juta), REIT (21.64 juta), dana tertutup (40,100), tenaga (174.01 juta), penjagaan kesihatan (91.23 juta), telekomunikasi dan media (44.02 juta), pengangkutan dan logistik (38.14 juta ), utiliti (48.96 juta), dan amanah perniagaan (1.49 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan