PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA AKHIRI KENAIKAN EMPAT HARI, DITUTUP HAMPIR TIDAK BERUBAH

08/05/2024 07:22 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan sebelumnya apabila ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, dipengaruhi oleh prestasi pasaran serantau yang suram, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 0.06 peratus atau 0.93 mata kepada 1,604.75 daripada 1,605.68 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka meningkat 1.28 mata kepada 1,606.96, bergerak kepada paras rendah 1,602.29 pada sesi tengah hari selepas mencapai 1,610.25 ketika dagangan pagi.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 571 berbanding 568, manakala 478 kaunter tidak berubah, 712 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 5.39 bilion unit bernilai RM3.57 bilion berbanding 5.42 bilion unit bernilai RM3.79 bilion semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ekuiti Asia diniagakan berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap cabaran ekonomi, yang berpotensi mengurangkan peningkatan baru-baru ini.

Di dalam negara, beliau berkata FBM KLCI reda seketika berikutan peningkatan baru-baru ini, dengan  berlakunya aktiviti pengambilan untung yang sederhana.

"Walaupun saya masih menyaksikan terdapatnya nilai dalam pasaran Malaysia, adalah wajar untuk mencatat kenaikan kecil menjelang minggu akan datang yang berpotensi untuk tidak menentu," katanya kepada Bernama.

Dalam saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM9.80, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing turun satu sen kepada RM4.20 dan RM6.30, CIMB susut tujuh sen kepada RM6.74, dan Tenaga Nasional berkurangan lapan sen kepada RM12.40.

Bagi saham aktif, BCM Alliance dan TWL masing-masing naik setengah sen kepada 1.5 sen dan tiga sen, MYEG menokok 6.5 sen kepada 98.5 sen,Top Glove menambah 2.5 sen kepada 92 sen, Techna-X tidak berubah pada satu sen, manakala Classita menyusut setengah sen kepada empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.37 mata kepada 12,107.84, Indeks FBMT 100 menambah 11.55 mata kepada 11,727.40, dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 34.69 mata kepada 12,337.57.

Indeks FBM 70 melonjak 92.26 mata kepada 17,005.89 dan Indeks ACE FBM memperoleh 48.16 mata kepada 5,136.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 49.12 mata kepada 17,475.96,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.38 mata kepada 192.92, Indeks Perladangan melonjak 61.21 mata kepada 7,500.86, dan Indeks Tenaga meningkat 5.30 mata kepada 981.31.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.85 bilion unit bernilai RM3.09 bilion daripada 3.99 bilion unit bernilai RM3.41 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.16 bilion unit bernilai RM173.58 juta berbanding 796.35 juta unit bernilai RM117.88 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.38 bilion saham bernilai RM307.42 juta berbanding 627.42 juta saham bernilai RM263.14 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 514.24 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (431.46 bilion), pembinaan (287.84 juta), teknologi (451.98 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (109.71 juta), hartanah (358.52 juta), perladangan (41.54 juta), REIT (33.37 juta), dana tertutup (99,300), tenaga (301.52 juta), penjagaan kesihatan (146.95 juta), telekomunikasi dan media (37.12 juta), pengangkutan dan logistik (60.62 juta), utiliti (78.45 juta), dan amanah perniagaan (1.26 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan