PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA RENDAH BERBANDING DOLAR AS

08/05/2024 09:57 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh berbanding mata wang utama lain, kata penganalisis.

Mereka berkata dijangka terdapat permintaan untuk dolar AS berikutan ketegangan politik yang berterusan di Timur Tengah dan walaupun data pekerjaan AS telah dikeluarkan pada Jumaat lepas.

Pada 9 pagi, ringgit merosot kepada 4.7400/7455 berbanding dolar AS daripada 4.7375/7400 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) naik secara berperingkat kepada 105.41 mata, tanpa data utama.

“Kenyataan daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS masih bercampur-campur.

“Presiden Fed Reserve Bank of Minneapolis Neel Kashkari menyatakan bahawa data inflasi baru-baru ini menimbulkan keraguan sama ada dasar monetari yang dilaksanakan dapat memastikan kadar inflasi ke arah sasaran dua peratus,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, katanya ringgit dijangka kekal rendah dalam masa terdekat.

Pada dagangan awal, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0600/0638 daripada 3.0646/0664 pada Selasa, mengukuh berbanding pound kepada 5.9226/9295 daripada 5.9385/9416 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 5.0946/1005 daripada 5.0971/0998 sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding baht Thailand, ringgit meningkat kepada 12.8132/8326 daripada 12.8332/8459 pada Selasa dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4791/5014 daripada 3.4989/5010 semalam.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 295.3/295.8 daripada 295.2/295.5 dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.28/8.29 daripada 8.27/8.28 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan