PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA BERMULA POSITIF, LEPASI 1,600 MATA

07/05/2024 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mei -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan pagi Selasa, melepasi paras 1,600 mata, menjejaki prestasi semalaman Wall Street memberi petunjuk berkemungkinan kadar faedah akan diturunkan, kata seorang peniaga.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.87 mata kepada 1,602.26 daripada 1,597.39 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 3.46 mata pada 1,600.85.

Di pasaran meluas, kaunter untung mendahului rugi iaitu 225 berbanding 119 manakala 306 kaunter tidak berubah, 1,663 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan ialah 167.87 juta unit bernilai RM83.01 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street mengekalkan aliran menaiknya dengan harapan Rizab Persekutuan (Fed AS) akan mengurangkan kadar faedah lebih awal.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI mempunyai prestasi memberangsangkan sejak pertengahan April, meningkat empat peratus apabila dana asing kembali dan pembelian dalam saham mewah berterusan.

"Berdasarkan aliran meningkat semasa, sasaran bagi tahun 2024 adalah sebanyak 1,660, ia boleh dicapai kerana Bursa Malaysia kekal pada harga berpatutan," katanya kepada Bernama.

Bagi kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.84, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.22, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM12.42, manakala CIMB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM6.75 dan RM6.30.

Bagi saham aktif, Ingenieur tidak berubah pada 11 sen, SNS dan Eversendai masing-masing naik satu sen kepada 48 sen dan 47 sen, mankala K-One melonjak 0.5 sen kepada 15 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 31.18 mata kepada 12,065.45, Indeks FBMT 100 naik 29.56 mata kepada 11,686.54 dan ndeks FBM Emas Shariah menambah 25.31 mata kepada 12,255.23.

Indeks FBM 70 naik 18.16 mata kepada 16,853.81 dan Indeks FBM ACE meraih 0.38 mata kepada 5,141.29.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 37.25 mata kepada 14,460.86 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.34 mata kepada 192.28 manakala Indeks Tenaga melonjak 1.17 mata kepada 963.88 dan Indeks Perladangan menambah 20.63 mata kepada 7,413.77.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan