PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA MENGALAMI KEADAAN TIDAK BANYAK BERUBAH MINGGU DEPAN

20/04/2024 10:13 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka berada dalam keadaan tidak banyak berubah minggu depan berikutan peningkatan risiko pasaran, turun naik kian ketara dalam pasaran global dan ketegangan geopolitik.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan indeks penanda aras terus mencatatkan pergerakan kecil sehingga pemangkin baharu muncul.

“Kami menasihati pelabur supaya berhati-hati memandangkan peningkatan risiko dalam pasaran global. Kami menjangkakan indeks penanda aras memasuki fasa tidak banyak berubah dan mewujudkan asas dalam jangka masa pendek hingga pertengahan.

“Walau bagaimanapun, penutupan dagangan di bawah Purata Pergerakan Eksponen 50 hari (EMA) boleh menunjukkan potensi kelemahan akan datang,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata justeru, pihaknya menjangkakan FBM KLCI turun naik dalam julat 1,528 hingga 1,560 minggu depan, dengan sokongan serta-merta pada 1,520, diikuti oleh 1,508.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes mengunjurkan bursa tempatan berada dalam sentimen berhati-hati minggu depan dengan sedikit kecenderungan positif susulan data ekonomi Malaysia terkini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 3.9 peratus pada suku pertama 2024 berdasarkan jangkaan awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya, diterajui sektor perkhidmatan.

Beliau berkata ekonomi Malaysia pulih dan menandakan pertumbuhan paling kukuh dalam setahun selain menunjukkan pemulihan yang semakin baik.

“Walaupun data tempatan yang positif ini boleh mendorong sedikit momentum menaik, kemungkinan pasaran kekal terganggu dengan risiko Timur Tengah dalam keadaan jangkaan kadar faedah tinggi berterusan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

“Ini berpotensi mengekang sebarang dorongan untuk pergerakan menaik dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata tumpuan kini beralih kepada data KDNK suku pertama bagi AS yang akan dikeluarkan minggu depan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 3.47 mata kepada 1,547.57 daripada 1,551.04 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 101.75 mata kepada 11,596.07; Indeks FBM 70 merosot 334.18 mata kepada 16,058.39; Indeks FBMT 100 kurang 78.97 mata kepada 11,247.95; Indeks FBM Emas Syariah turun 93.12 mata kepada 11,769.87 dan Indeks FBM ACE menguncup 241.14 mata kepada 4,858.98.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 95.04 mata kepada 7,375.65; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.17 mata kepada 184.49; Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 153.02 mata kepada 17,118.78 namun, Indeks Tenaga meningkat 0.10 mata kepada 969.19.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 21.21 bilion unit bernilai RM15.66 bilion daripada 11.31 bilion unit bernilai RM7.39 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 12.51 bilion saham bernilai RM13.95 bilion daripada 5.96 bilion saham bernilai RM6.39 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula menokok kepada 5.38 bilion unit bernilai RM662.45 juta daripada 3.14 bilion unit bernilai RM354.47 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 3.27 bilion saham bernilai RM1.04 bilion berbanding 2.17 bilion saham bernilai RM639.45 juta sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan