EKONOMI

71 Peratus Saham Di Bursa Malaysia Patuhi Syariah

17/12/2013 03:25 PM
JOHOR BAHRU, 17 Dis (Bernama) -- Sebanyak 71 peratus atau 653 saham daripada 914 saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia berlandaskan Syariah, kata Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM).

Presidennya Norizam Tukiman berkata saham-saham tersebut boleh diceburi oleh masyarakat Islam di negara ini dan dividen yang diperoleh adalah halal.

"Senarai lengkap saham-saham yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ini pada 29 November lepas merupakan saham yang berlandaskan hukum Syariah dan ia penting kepada umat islam," katanya pada sidang media di pejabat PPSMM di sini Selasa.

Sektor pelaburan berlandaskan Syariah yang boleh orang ramai pilih untuk melabur merangkumi pelaburan dalam syarikat pengguna, hartanah, perkhidmatan, perlombongan, infrastruktur, perladangan, teknologi dan kewangan, katanya.

Mereka boleh melabur saham-saham syarikat yang dilihat berpotensi tinggi seperti Tabung Haji Plantation Berhad, MK Land Properties, dan MyEg.

Sehubungan itu, pihaknya akan menganjurkan kempen kesedaran pelaburan berlandaskan Syariah secara berperingkat di seluruh negara bermula Januari tahun hadapan dan lokasi yang pertama dipilih adalah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Program ini dilaksanakan untuk membetulkan tanggapan orang ramai tentang pelaburan saham di Bursa Malaysia kerana beranggapan pelaburan saham diibaratkan sebagai judi dan haram," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan