JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pengurus Cuba Hantar Maklumat Sulit Petronas Kepada Petros - Saksi

19/11/2026 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa bekas Pengurus Petronas Mohd Khairul Akmal cuba menghantar maklumat sulit berkaitan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada dua pegawai kanan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Juruanalisis Kanan Digital Forensik di CyberSecurity Malaysia Abdul Wafi Abdul Rahman, 38, berkata dapatan itu adalah hasil analisis forensik yang dijalankannya terhadap pelayan e-mel syarikat berkenaan di Menara Berkembar Petronas pada 24 Jan 2025.

"Hasil pemeriksaan terhadap data yang diperoleh daripada pelayan e-mel tersebut mendapati bahawa terdapat rekod e-mel berkaitan penghantaran dokumen tersebut dan notifikasi kegagalan penghantaran e-mel atau undeliverable notification.

"Saya mendapati punca kegagalan penghantaran e-mel itu adalah disebabkan saiz lampiran yang terlalu besar dan melebihi had ditetapkan oleh sistem e-mel berkenaan," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal yang berdepan pertuduhan cuba mendedahkan laporan berkenaan kepada Petros pada 8 Jun 2024.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata sistem berkenaan merekodkan cubaan penghantaran e-mel oleh Mohd Khairul Akmal kepada e-mel Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petros Datuk Janin Girie dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Petros Mohd Azha Abdul Jalil.

Abdul Wafi berkata beliau telah memeriksa sebuah komputer riba milik tertuduh, dua telefon bimbit serta pemacu USB antara 19 Dis 2024 dan 24 Jan 2025 bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang maklumat berkaitan cubaan penghantaran dokumen tersebut.

"Berdasarkan pemeriksaan digital forensik yang telah saya jalankan ke atas komputer riba berkenaan, saya tidak menemukan sebarang bukti secara langsung yang menunjukkan bahawa dokumen tersebut telah dihantar melalui komputer riba berkenaan.

"Bagaimanapun, saya telah menemukan 15 rekod event logs (rekod aktiviti) berkaitan aktiviti Microsoft Outlook pada 8 Jun 2024 iaitu ia menunjukkan terdapat penggunaan aplikasi Outlook pada tarikh tersebut dan saya berpendapat kemungkinan e-mel itu telah dipadam oleh individu yang mempunyai akses kepada komputer riba  berkenaan, namun saya tidak dapat mengenal pasti siapa individu yang bertanggungjawab melakukan pemadaman tersebut," katanya.

Selain itu, Abdul Wafi berkata beliau tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan terdapat akses oleh pihak ketiga ke atas komputer riba berkenaan pada tarikh kejadian. 

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Redzuan manakala tertuduh diwakili peguam Louis Liaw Vern Xien.

Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat, iaitu satu dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, yang dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga setahun, manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung esok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan