AM

JPPKK Lancar Pelan Strategik Dan Garis Panduan Hab Kolaborasi TVET

19/11/2026 06:10 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) hari ini melancarkan Pelan Strategik dan Garis Panduan Hab Kolaborasi TVET (TCH) bagi membangunkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih terselaras, bersepadu dan responsif terhadap keperluan industri. 

Pelan dilancarkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim itu membuktikan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan JPPKK dalam memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pendidikan, industri dan agensi kerajaan.

Dalam kenyataan hari ini, JPPKK memaklumkan TCH merupakan platform kolaborasi strategik yang menghubungkan keperluan industri dengan kepakaran, kemudahan dan keupayaan politeknik dan kolej komuniti. 

“Inisiatif ini memberikan tumpuan pada perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan penggunaan kemudahan latihan secara bersama khususnya bagi menyokong sektor pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV). 

“Pelaksanaan TCH turut memperkukuh pendekatan Pendidikan Teknikal dan Profesional (PTE) yang menggabungkan kemahiran praktikal (hands-on) dan keupayaan berfikir (minds-on).

“Dengan penekanan pada penguasaan teknologi memuncul, pensijilan profesional serta pembentukan nilai dan etika bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPPKK, sehingga kini, empat TCH telah digerakkan melibatkan bidang kejuruteraan marin, penyamanan udara dan penyejukan, automotif serta teknologi makanan. 

Antara pencapaian awal termasuk pelaksanaan pensijilan profesional maritim dan pembukaan Pusat Latihan Daikin di Politeknik Ungku Omar, pengiktirafan latihan automotif di Politeknik Sultan Azlan Shah serta pembangunan Makmal Analisis Teknologi Makanan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah bagi menyokong keperluan industri.

Sementara itu, JPPKK turut meluncurkan Bingkisan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti Edisi 3 yang mengetengahkan pencapaian, pengalaman dan amalan terbaik pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat dalam memperluas peluang peningkatan kemahiran, penjanaan pendapatan serta keusahawanan kepada masyarakat. 

Program PSH menyediakan peluang pembelajaran dan latihan kemahiran secara inklusif kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan B40, belia, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan komuniti Orang Asli. 

Masyarakat berpeluang meningkatkan kemahiran, menambah pendapatan dan memperkukuh kesejahteraan sosioekonomi menerusi penawaran kursus pendek, program PSH berstruktur serta pentauliahan mikro mandiri atau micro-credentials stand alone (MCSA).

“Selaras dengan Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti (PSPKK) 2026–2035, JPPKK menyasarkan akses kepada 500,000 peserta setahun menjelang 2035, merangkumi pengajian formal dan pembelajaran sepanjang hayat,” menurut kenyataan itu.

JPPKK memaklumkan kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen jabatan untuk memperkukuh kolaborasi industri, meningkatkan kualiti pembangunan bakat serta memperluas peluang pembelajaran yang inklusif. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan