JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Curi Lori Bonded Tumpas, 7 Termasuk Dalang Ditahan - JSJ

01/07/2026 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket curi lori bonded yang aktif beroperasi di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur susulan penahanan tujuh individu termasuk dalang, minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kesemua lelaki warga tempatan berusia 32 hingga 48 tahun itu, ditahan di beberapa lokasi berasingan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menerusi  Ops Lejang Lori Bonded pada 22 hingga 28 Jun.

“Kesemua tangkapan telah direman bagi membantu siasatan. Siasatan turut mendapati seorang daripada suspek yang ditangkap merupakan dalang utama sindiket, yang berperanan sebagai orang tengah untuk mencari pencuri, pengendali stor haram, mekanik, penghantar dan pembeli komponen lori curi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata sindiket berkenaan disyaki terlibat dalam kira-kira 18 kes kecurian lori bonded yang dilaporkan di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur dengan anggaran jumlah kerugian sebanyak RM1,230,000.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, polis turut merampas lima lori, sebuah kereta, sebuah motosikal selain pelbagai alatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri lori.

“Turut dirampas ialah pelbagai dokumen syarikat dan resit pembayaran yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan sindiket, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM400,000,” katanya.

Kumar berkata modus operandi sindiket ialah dengan dalang utama bertindak menerima tempahan daripada pemilik bengkel, sebelum mengarahkan anggotanya untuk mencuri model lori yang dikehendaki sebelum dileraikan di stor dan bengkel.

“Komponen dan kepala lori dijual secara berasingan dengan harga di bawah nilai pasaran dan diiklankan di media sosial. Dalang juga memberi upah antara RM15,000 ke RM18,000 bagi setiap lori yang berjaya dicuri,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Kumar berkata setakat ini, 13 akaun bank bernilai RM280,836.10 telah dibekukan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik lori dan pengusaha syarikat logistik supaya memastikan kenderaan mereka dilengkapi sistem keselamatan dan pemantauan GPS, selain meletakkannya di kawasan yang selamat dan mempunyai kawalan keselamatan.

“Pemilik bengkel diingatkan supaya tidak membeli mana-mana komponen kenderaan tanpa dokumen pemilikan yang sah atau yang ditawarkan di bawah harga pasaran kerana boleh mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan