ISTANBUL, 1 Julai (Bernama-Anadolu) -- Perancis membelasah Sweden 3-0 menerusi dua jaringan Kylian Mbappe untuk mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium New York New Jersey, Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Perancis membuka jaringan sejurus sebelum tamat separuh masa pertama menerusi Mbappe pada minit ke-45. Sepakan penjuru yang dirancang dengan baik antara Ousmane Dembele dan Michael Olise membolehkan Mbappe melepasi Viktor Gyokeres sebelum tenang menyudahkan peluang ke penjuru kanan bawah gawang menewaskan Jacob Widell Zetterstrom.
Gol itu menyaksikan Mbappe menjaringkan gol kesembilannya dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia, sekali gus mengatasi Leonidas dan Ronaldo yang masing-masing menjaringkan lapan gol, sebagai pemain dengan jaringan terbanyak dalam peringkat kalah mati kejohanan itu.
Perancis menggandakan kelebihan pada minit ke-53 apabila Olise melakukan hantaran cemerlang melepasi celah kaki Viktor Lindelof kepada Bradley Barcola yang melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti tanpa mampu diselamatkan Zetterstrom.
Anak buah Didier Deschamps menguasai sepenuhnya permainan dengan menggerakkan bola penuh yakin dan tepat, di samping berterusan mengancam menerusi larian di belakang benteng pertahanan Sweden. Olise terus mengemudi jentera serangan Perancis, manakala bantuan gol kelimanya dalam kejohanan itu menjadikan beliau pemain pertama sejak Thomas Hassler dari Jerman pada 1994 yang mencatat lima bantuan gol dalam satu edisi Piala Dunia.
Mbappe melengkapkan kemenangan pada minit ke-74 apabila melakukan larian tepat untuk menyambut satu lagi hantaran Olise yang membelah pertahanan sebelum melakukan penyudah yang hampir sama seperti gol pertamanya untuk menewaskan Zetterstrom.
Dua jaringan itu menyaksikan Mbappe kini menyamai Lionel Messi dengan enam gol dalam saingan merebut Kasut Emas kejohanan, selain hanya ketinggalan satu gol di belakang rekod jaringan sepanjang zaman Messi di Piala Dunia.
Selepas Sweden tersingkir daripada kejohanan, Perancis akan menentang Paraguay pada pusingan 16.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial