AM

Unity Merdeka Sasar Kehadiran 1 Juta Pengunjung

01/07/2026 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Lebih satu juta pengunjung disasarkan bakal membanjiri Dataran Merdeka bagi menghadiri festival komuniti berskala besar, “Unity Merdeka”, yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 20 Julai ini.

Bertemakan “Kepelbagaian Disatukan, Kesejahteraan Dikekalkan”, festival julung kali diadakan anjuran Polis Kuala Lumpur dengan kerjasama 16 kementerian itu, diadakan bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata festival itu, bakal menghimpunkan pelbagai elemen merangkumi kebajikan, perpaduan, seni budaya, pendidikan, keagamaan, kekeluargaan serta hiburan dan terbuka untuk semua lapisan umur.

“Acara ini bertujuan merapatkan hubungan masyarakat melibatkan elemen perpaduan pelbagai etnik, kaum dan budaya melalui aktiviti interaktif, persembahan artis tempatan serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta,” katanya dalam ucapan prapelancaran majlis itu, di sini hari ini.

Fadil berkata antara tarikan utama sepanjang festival itu, termasuklah pameran dan reruai interaktif daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Turut mengambil bahagian ialah institusi pendidikan dan agensi perkhidmatan seperti institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Pos Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Pada festival itu, pelbagai aktiviti menarik diatur antaranya Pertandingan Kawad Kaki Kadet Polis, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Komuniti Prihatin, sesi Meet & Greet karakter animasi, aktiviti kanak-kanak, pertandingan e-sukan, sukan pickleball, perlawanan Muay Thai, acara Fun Run 5 Kilometer serta Fun Bike Ride.

Bagi pengisian rohani, majlis ilmu “KL Berselawat” turut diadakan, selain tayangan skrin besar bagi membolehkan orang ramai menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 secara langsung.

Dalam pada itu, Fadil turut menasihati semua pengguna jalan raya agar merancang perjalanan masing-masing, serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran aliran trafik di sekitar ibu kota sepanjang festival berlangsung.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian khas Polis Kuala Lumpur menerusi nombor 03-2115 9999, Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee 03-20719999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan