LABUAN, 1 Julai (Bernama) -- Tiada sebarang pampasan yang mampu menggantikan kehilangan nyawa, namun perlindungan keselamatan sosial dapat membantu meringankan beban keluarga yang ditinggalkan akibat tragedi berkaitan pekerjaan.
Perkara itu dizahirkan menerusi kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Labuan ke kediaman keluarga Allahyarham Daud Irwansyah Muhammad Siang hari ini, yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal ke tempat kerja.
Dalam kunjungan itu, Perkeso Labuan menyampaikan Care Box kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap tanggungan orang berinsurans yang meninggal dunia akibat kemalangan berkaitan pekerjaan.
Pengurus Perkeso Labuan Sylvester Candy Anak Pai berkata keluarga Allahyarham kini menerima faedah pencen Perkeso di bawah Skim Bencana Pekerjaan yang menyediakan perlindungan kepada tanggungan yang layak sekiranya pekerja berinsurans meninggal dunia akibat kemalangan semasa bekerja atau kemalangan semasa perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Perkeso dalam menjaga kebajikan penerima faedah, selain memastikan keluarga yang terkesan akibat kemalangan berkaitan pekerjaan terus menerima bantuan dan perhatian sewajarnya.
"Perkeso juga menggalakkan majikan dan pekerja untuk mendaftar serta mencarum di bawah skim keselamatan sosial bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka mendapat perlindungan sekiranya berlaku kemalangan maut ketika bekerja atau dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial