AM

Ahmad Zahid Ucap Takziah Kematian Kanak-kanak Autistik Di Kebun Kelapa Sawit

01/07/2026 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun, Allahyarham Muhammad Faith Fatih Abdul Fattah yang ditemukan meninggal dunia di kawasan kelapa sawit di Kampung Baru dekat Sungai Sumun, Hutan Melintang, malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata berita pemergian kanak-kanak itu amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi kerana melibatkan seorang anak istimewa yang masih kecil.

"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga, khususnya ibu dan ayah Allahyarham. Tiada ujian yang lebih berat buat seorang ibu dan ayah selain kehilangan permata hati yang amat disayangi," katanya.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat itu.

"Sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah dan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham," katanya.

Semalam, kanak-kanak itu dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam parit di kawasan kelapa sawit di kampung berkenaan pada 10.08 malam semasa operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali dilapor berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 4.54 petang dengan menyatakan kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berada di ruang tamu rumahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan