KLUANG, 30 Jun (Bernama) -- Masalah gangguan rangkaian Internet yang membelenggu penduduk Felda Layang-Layang bakal menemui jalan penyelesaian.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Layang-Layang Guna Balakrishnan berkata wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), telah meninjau serta merangka pelan penambahbaikan jaringan di penempatan terbabit, demi memastikan penduduk menikmati akses digital yang lebih stabil.
“Tadi mereka (MCMC) ada memberikan keterangan sedikit tentang bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah rangkaian Internet di sini, agar penduduk dapat menikmati akses yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi tinjauan mesra di sekitar Felda Layang-Layang di sini, hari ini.
Beliau berkata siri lawatan dari rumah ke rumah yang melibatkan 40 kediaman sejak awal pagi tadi, turut merekodkan beberapa isu domestik lain termasuk keperluan menaik taraf sistem perparitan bagi mengatasi banjir kilat, serta ancaman keselamatan akibat kehadiran anjing liar.
Memasuki hari keempat berkempen, Guna berkata beliau akan melipatgandakan gerak kerja agresif ke kawasan pedalaman, kampung tradisi dan kampung Cina bagi memastikan tiada suara komuniti yang terpinggir daripada perhatiannya.
Mengulas mengenai penerimaan masyarakat, beliau menyifatkan maklum balas awal setakat ini sebagai sangat positif dan bertekad untuk terus bekerja keras bagi meraih kepercayaan dan mandat daripada pengundi.
DUN Layang-Layang menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Guna, calon Barisan Nasional (BN) Chua Jian Boon dan penyandang kerusi berkenaan Abd Mutalip Abd Rahim yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N27: LAYANG-LAYANG: 25,181 pengundi
1. Guna Balakrishnan (PH-PKR)
2. Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu)
3. Chua Jian Boon (BN-MCA)
(2022: Abd Mutalip Abd Rahim: BN-UMNO: Maj: 2,815)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial