PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Jemaah Menteri bersetuju untuk melanjutkan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) bagi meneruskan usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 di Selatan Lautan Hindi, berkuat kuasa selama 12 bulan, bermula dari 1 Julai ini hingga 30 Jun 2027.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kabinet, Jumaat lepas.
"Keputusan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi kerajaan dalam memberikan penutupan yang amat dinanti-nantikan oleh keluarga waris penumpang pesawat MH370," katanya.
Beliau berkata pelanjutan perjanjian itu mengekalkan kesemua terma dan syarat utama dalam perjanjian sedia ada termasuk penerapan prinsip no find, no fee, yang mengikut prinsip berkenaan, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat terlibat sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemukan.
"Bagaimanapun, fi pembayaran berjumlah USD70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai," katanya.
Loke berkata kelulusan pelanjutan tempoh itu bertujuan membolehkan baki kawasan pencarian seluas 7,428.54 kilometer persegi diselesaikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.
Katanya, langkah itu turut mengambil kira komitmen kontrak komersial baharu yang diterima oleh Ocean Infinity yang memerlukan aset utama operasi sedia ada ditugaskan semula ke lokasi lain buat sementara waktu.
Beliau berkata penugasan dan penjadualan semula aset tersebut hanya boleh dibuat bermula November ini hingga April 2027, iaitu semasa musim keadaan laut tidak bergelora bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan pencarian.
Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Pesawat MH370 dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada 6.30 pagi waktu tempatan, namun gagal dikesan menerusi radar dan tidak pernah sampai ke destinasinya.
Pencarian MH370 adalah antara operasi paling mahal dalam sejarah penerbangan dunia, melibatkan kos USD200 juta (RM837.47 juta ketika itu) serta penyertaan 82 pesawat dan 84 kapal laut dari 26 negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial