FOKUS BERNAMA

Perentak Jantung Tanpa Wayar, Teknologi Baharu Minimumkan Risiko Komplikasi

29/06/2026 12:14 PM
Daripada Balkish Awang

Adabiah Darus tidak pernah menduga rasa pening dan hampir pitam yang dialaminya berulang kali sejak awal tahun ini adalah tanda-tanda penyakit jantung.

Pun begitu, pesara kerajaan berusia 68 tahun ini bernasib baik kerana tindakannya membuat pemeriksaan awal di sebuah klinik kesihatan di sini, membolehkan doktor membuat pemeriksaan lanjut dan menemukan masalah pada jantungnya.

“Doktor jalankan saringan ECG (elektrokardiogram) sebanyak tiga kali dan keputusan ketiga-tiga ujian menunjukkan bacaan jantung yang tidak ‘cantik’, mengesahkan saya ada masalah jantung,” kongsinya dengan Bernama.


Adabiah Darus ketika ditemui media sebelum menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar di HCTM baru-baru ini.--fotoBERNAMA

Adabiah kemudian mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia dan disahkan mengalami sindrom sinus sakit serta disarankan oleh doktor untuk memakai perentak jantung tanpa wayar.

(Sindrom sinus sakit merujuk gangguan irama jantung yang menyebabkan degupan jantung terlalu cepat, perlahan atau tidak seragam). 

Pada 10 Jun lepas, dua individu termasuk Adabiah, menjadi pesakit jantung pertama menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar di HCTM, dan Bernama antara empat wakil media yang diundang oleh hospital itu bagi menyaksikan catatan sejarah tersebut.

Prosedur itu dikendalikan oleh Pakar Kardiologi, Elektrofisiologi dan Perubatan Dalaman di Jabatan Perubatan HCTM, Dr Mohd Asyiq Al-Fard Mohd Raffali.

 

ANTARA PERENTAK JANTUNG KONVENSIONAL DAN TANPA WAYAR

 

Mengulas lanjut,  Dr Mohd Asyiq Al-Fard berkata umumnya, perentak jantung berperanan menyelaras degupan jantung yang tidak normal, dan berbeza perentak konvensional yang bersaiz sebesar kotak mancis, peranti tanpa wayar berbentuk seperti kapsul kecil sebesar kapsul ubat biasa. 

Kaedah konvensional memerlukan pembedahan poket bawah kulit dan penyaluran wayar ke dalam jantung, sementara inovasi tanpa wayar menawarkan alternatif yang lebih selamat dengan risiko komplikasi minimum. 

“Perentak konvensional dipasang di bawah kulit dada, manakala peranti tanpa wayar ini dimasukkan terus ke dalam ruang jantung tanpa memerlukan sebarang wayar (lead). 

"Jikalau dahulu perentak jantung tanpa wayar ini hanya dimasukkan ke ruang bawah jantung (ventrikel), dengan teknologi baharu kita dapat masukkan ke ruang atas jantung (atrium)," katanya.


Dr Mohd Asyiq Al-Fard Mohd Raffali.--fotoBERNAMA

Ditanya tentang perbezaan antara perentak jantung konvensional dan perentak jantung tanpa wayar, Dr Mohd Asyiq Al-Fard berkata perbezaan utama adalah pada struktur dan cara pemasangan.

"Untuk perentak jantung konvensional, komponen yang diimplan terdiri daripada peranti (jana kuasa) dan wayar, manakala perentak jantung tanpa wayar hanya terdiri daripada peranti tunggal yang berbentuk kapsul. 

"Lokasi pemasangan juga berlainan dengan perentak jantung tanpa wayar dimasukkan terus ke dalam jantung menerusi urat vena kaki, manakala perentak konvensional diletakkan di bawah kulit kawasan dada," katanya.

Menjelaskan fungsi peranti, beliau berkata perentak jantung dilengkapi sensor pintar yang akan memantau rentak jantung pesakit secara masa nyata. 

"Sekiranya peranti mengesan jantung berdenyut terlalu perlahan atau berhenti seketika, alat itu akan menghantar impuls elektrik kecil yang selamat untuk ‘mengejutkan’ otot jantung supaya kembali berdenyut pada kadar normal,” katanya.

 

PROSEDUR PEMASANGAN

 

Menjelaskan dengan lebih lanjut prosedur pemasangan, Dr Mohd Asyiq Al-Fard berkata prosedur itu hanya melibatkan bius setempat, iaitu di kawasan pangkal paha, dan prosedur hanya dilakukan di makmal kateterasi atau “cath lab”.

“Seterusnya, satu tiub kecil dan fleksibel (kateter) akan dimasukkan melalui urat besar di pangkal paha (vena femoralis). Dengan panduan imej sinar-X (fluoroskopi), kateter tersebut digerakkan secara berhati-hati merentasi saluran darah hingga ke dalam ruang bawah kanan jantung (ventrikel kanan).

"Selepas itu perentak tanpa wayar dilepaskan dari kateter dan dilekatkan pada dinding otot jantung menggunakan cangkuk mikro khas. Setelah dipastikan kedudukannya kukuh dan berfungsi dengan baik, kateter akan dikeluarkan dan tempat tusukan di pangkal paha ditekan untuk hentikan pendarahan," katanya.

Menurut pakar itu, prosedur tersebut biasanya mengambil masa sekitar 30 hingga 45 minit tetapi boleh mencecah satu jam atau lebih, bergantung pada anatomi saluran darah dan struktur dalaman jantung pesakit. 

"Jika struktur jantung pesakit agak unik atau bengkak, pakar memerlukan masa lebih sedikit untuk mencari posisi peranti yang paling optimum dan selamat pada jantung," katanya.


Inovasi tanpa wayar menawarkan alternatif yang lebih selamat dengan risiko komplikasi minimum.--fotoBERNAMA

Dari segi kelebihan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar berbanding kaedah konvensional, beliau berkata pemakaian perentak jantung tanpa wayar mempunyai risiko jangkitan yang sangat rendah kerana tiada poket pembedahan di dada yang boleh terdedah kepada kuman.

"Selain itu, kaedah ini juga menghapuskan risiko wayar tersumbat, patah atau merosakkan injap jantung dalam jangka masa panjang. Dari sudut estetik dan keselesaan pula, tiada parut atau benjolan pada dada.

“Orang lain tidak akan tahu pesakit memakai peranti jantung. Prosedur ini juga mempunyai risiko pendarahan yang rendah kerana tiada pemotongan pisau bedah yang besar di dada," katanya, menambah teknologi baharu itu mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit terutama dari segi keselesaan dan kemudahan pesakit. 

"Jika pesakit menjalani kaedah tradisional, biasanya mereka dilarang mengangkat tangan melebihi paras bahu atau mengangkat barang berat selama beberapa minggu bagi mengelakkan wayar tercabut. Namun dengan perentak jantung tanpa wayar ini pesakit tidak mempunyai sekatan pergerakan lengan tersebut. 

"Mereka boleh kembali aktif dengan lebih cepat, berasa lebih yakin kerana tiada cacat cela pada kosmetik dada dan psikologi mereka lebih tenang tanpa rasa ‘benda asing’ yang membenjol di dada," katanya.

Berhubung risiko dihadapi pesakit semasa dan selepas prosedur itu, Dr Mohd Asyiq Al-Fard menegaskan  walaupun prosedur berkenaan sangat selamat, setiap intervensi perubatan ada risiko tersendiri.

"Semasa prosedur dilakukan pesakit cenderung berisiko mengalami kecederaan pada dinding jantung (perforasi) yang boleh menyebabkan takungan darah di kantung jantung (tamponad jantung) atau gangguan irama jantung seketika semasa peranti dipasang.

"Manakala risiko selepas prosedur dijalankan pesakit akan mengalami lebam atau pendarahan di kawasan tusukan pangkal paha atau risiko peranti beralih (namun kes ini amat jarang berlaku), " katanya.

Berhubung jangka hayat bateri perentak jantung tanpa wayar itu, beliau berkata bergantung pada lokasi perentak dipasang, peranti tanpa wayar dwiruang mempunyai jangka hayat selama 15 hingga 20 tahun jika dipasang di ventrikel dan 10 hingga 15 tahun untuk peranti di atrium. 

"Ini kerana peranti di atrium bersaiz lebih kecil agar mudah diimplankan ke dalam atrium yang lebih kecil daripada ventrikel. Sekiranya bateri habis, peranti baharu boleh dimasukkan dan diletakkan bersebelahan peranti lama atau peranti lama boleh dikeluarkan, bergantung pada penilaian doktor," jelasnya.

 

SIAPA PERLU JALANI RAWATAN

 

Berhubung individu yang sesuai menerima peranti itu,  Dr Mohd Asyiq Al-Fard berkata pesakit warga emas atau mereka yang mempunyai penyakit kronik lain seperti kencing manis dan masalah buah pinggang yang menjalani hemodialisis disarankan melakukan kaedah tersebut kerana golongan terbabit berisiko tinggi mendapat jangkitan kuman jika menggunakan perentak konvensional.

Selain itu, pesakit yang mengalami saluran darah di bahagian dada, jantung tersumbat serta pesakit yang pernah menjalani kemoterapi melalui urat lengan juga boleh melakukan prosedur berkenaan.

"Bagi kanak-kanak atau remaja yang mengalami masalah sistem pendawaian jantung (seperti congenital complete heart block) boleh membuat prosedur ini kerana anatomi mereka yang sedang membesar menyukarkan pemasangan wayar konvensional.

“Bagaimanapun saiz saluran darah pangkal paha kanak-kanak perlu dinilai terlebih dahulu sama ada mampu memuatkan saiz kateter peranti ini atau tidak," katanya.


Prosedur biasanya mengambil masa sekitar 30 hingga 45 minit tetapi boleh mencecah satu jam atau lebih, bergantung pada anatomi saluran darah dan struktur dalaman jantung pesakit--fotoBERNAMA

Dalam pada itu, Dr Mohd Asyiq Al-Fard berkata sebelum pakar mengesyorkan pemasangan perentak tanpa wayar, ada beberapa perkara yang akan dipertimbang termasuk keperluan klinikal, sama ada pesakit memerlukan perentak satu ruang atau dua ruang.

(Perentak satu ruang melibatkan peranti yang menghantar impuls elektrik ke satu ruang jantung sahaja, biasanya ventrikel kanan, sementara perentak dwiruang menghantar impuls elektrik ke atrium kanan dan ventrikel kanan, iaitu sesuai untuk pesakit yang memerlukan penyelarasan antara ruang atas dan bawah jantung). 

"Faktor lain perlu dilihat ialah anatomi saluran darah yang penting bagi memastikan urat di pangkal paha bebas daripada sumbatan atau pembekuan darah; tahap imuniti pesakit serta kos memandangkan peranti ini teknologi baharu jadi kos lebih tinggi berbanding perentak konvensional," katanya.

 

TEMPOH PULIH 

 

Mengulas tempoh pulih selepas menjalani prosedur, Dr Mohd Asyiq Al-Fard berkata selepas prosedur selesai, pesakit hanya perlu baring lurus selama kira-kira empat hingga enam jam bagi memastikan luka tusukan di pangkal paha sembuh sepenuhnya dan tidak ada pendarahan. 

"Pesakit juga boleh bangun berjalan pada keesokannya dan dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh 24 hingga 48 jam. Untuk kembali menjalani aktiviti harian seperti seperti berjalan, bekerja di pejabat dan mengemas rumah, bagaimanapun pesakit perlu menunggu selama tiga hingga lima hari. 

"Bagi aktiviti fizikal berat atau bersukan, kami menasihatkan pesakit menunggu sekitar satu hingga dua minggu bagi memastikan luka di pangkal paha benar-benar pulih. Bagaimanapun ini jauh lebih cepat berbanding perentak konvensional yang memerlukan larangan pergerakan tangan antara empat hingga enam  minggu," katanya, menambah pesakit wajib melakukan pemeriksaan susulan pada minggu keenam selepas prosedur dan seterusnya setiap enam bulan hingga setahun sekali. 

Selain Adabiah, turut menerima perentak jantung tanpa wayar pada hari berkenaan ialah Fuziah Moksin, 64, yang mengalami penyempitan salur vena akibat rawatan kanser payudara sebelum ini. Keadaan itu menyebabkan pemasangan perentak jantung berwayar secara konvensional sukar dilakukan.

Mengulas kes Fuziah yang juga pesakit pertama HCTM menjalani prosedur itu, Dr Mohd Asyiq Al-Fard berkata pesakit berkenaan menunjukkan perkembangan yang sangat luar biasa.

“Selepas beberapa hari menjalani rawatan, pesakit memaklumkan rasa lebih bertenaga, tiada lagi pusingan kepala atau rasa hendak pitam, dan luka di pangkal pahanya sembuh dengan sangat cantik tanpa sebarang komplikasi," katanya.

 

HARAPAN MASA DEPAN

 

Berkongsi harapannya dalam rawatan jantung di negara ini pada masa depan, pakar itu berhasrat melihat teknologi terbaharu berkenaan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai ahli masyarakat menerusi penyediaan dana lebih besar oleh pihak berwajib.

Katanya buat masa ini, kos menjadi kekangan utama, justeru tidak dapat ditawarkan kepada pesakit begitu sahaja melainkan pesakit ada petunjuk perubatan yang sangat mendesak.


Perentak jantung dilengkapi sensor pintar yang akan memantau rentak jantung pesakit secara masa nyata. --fotoBERNAMA

Beliau juga berharap kewujudan inovasi baharu itu dihebahkan kepada umum dengan lebih agresif agar lebih ramai mengetahui manfaatnya, sekali gus mengurangkan rasa takut pesakit untuk mendapatkan rawatan jantung.

"Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang kita mungkin melihat peranti yang lebih kecil, jangka hayat bateri melebihi 20 tahun dan integrasi penuh dengan pemantauan jarak jauh berasaskan aplikasi telefon pintar di mana doktor boleh memantau degupan jantung pesakit dari rumah secara automatik," katanya.

Dalam pada itu Dr Mohd Asyiq Al-Fard turut menasihati ahli masyarakat agar membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala, khususnya berkaitan penyakit jantung.

"Jangan sesekali pandang mudah simptom seperti kerap pening, cepat penat atau rasa berdebar-debar. Sering kali masyarakat menganggap semua itu hanyalah tanda faktor usia atau penat biasa sedangkan keadaan itu mungkin petanda awal gangguan elektrik jantung yang serius.

"Pengesanan awal melalui pemeriksaan ringkas seperti ECG di klinik atau hospital mampu menyelamatkan nyawa. Jangan takut untuk tampil berjumpa pakar kerana rawatan awal mampu mengembalikan kualiti hidup anda seperti sediakala. Jantung yang sihat adalah nadi kehidupan kita," katanya.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan