SEPANG, 26 Jun (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) mengenal pasti aspek seperti pelaburan tenaga kerja, pempelbagaian perniagaan dan kerjasama dengan pihak berkepentingan sebagai teras untuk memperkukuh daya tahan mengharungi pelbagai krisis berulang dihadapi industri penerbangan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata industri itu telah mengharungi lebih daripada 11 krisis besar dalam tempoh lima dekad lepas, termasuk konflik geopolitik, kejutan harga bahan api, pandemik dan gangguan rantaian bekalan.
“Akan ada krisis baharu pada masa lain. Namun, apa yang penting adalah memastikan kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya,” katanya pada acara Forum Aeroangksa Selangor di sini, hari ini.
Nasaruddin berkata MAG kekal komited dalam usaha pelaburan melibatkan 15,000 kakitangan menerusi pembangunan latihan dan kemahiran walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
“MAG tidak pernah berhenti melabur dalam tenaga kerja kerana mereka adalah aset terhebat syarikat,” katanya.
Menyentuh pempelbagaian, Nasaruddin berkata MAG telah melakukan tindakan itu dengan melangkaui operasi penumpang, mengembangkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), kargo dan perkhidmatan penerbangan untuk mengukuhkan lagi pendapatan kumpulan.
“Margin syarikat penerbangan amat tipis iaitu purata kira-kira 1.4 peratus. Atas sebab inilah kita perlu bertindak mengembangkan perniagaan yang dapat menjana hasil lebih baik,” katanya.
Beliau berkata gangguan rantaian bekalan telah menyebabkan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines yang dimiliki dan diuruskan oleh MAG, terpaksa membatalkan lebih daripada 10,000 penerbangan dalam suku keempat 2024 yang menjejaskan lebih sejuta penumpang.
Ketegangan geopolitik yang meruncing juga telah meningkatkan harga bahan api jet dengan setiap kenaikan US$1 setong hanya menambah kira-kira RM51 juta dalam kos bahan api tahunan MAG.
“Sebagai sebuah syarikat penerbangan, bahan api lazimnya mewakili kira-kira 30 peratus daripada struktur kos kami.
“Sewaktu krisis bekalan global, ini melonjak kepada hampir 50 peratus yang merupakan satu impak besar terhadap industri dengan purata margin keuntungannya adalah kira-kira 1.4 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, bagi mengurangkan impak kenaikan berkenaan, MAG telah bertindak melindung nilai kira-kira 36 peratus keperluan bahan api untuk 2026.
Dalam pada itu, Nasaruddin berkata komunikasi jelas dan kerjasama yang erat dengan semua pihak berkepentingan juga penting dalam menguruskan krisis.
Pada masa sama, MAG sentiasa berhubung dengan para pekerja selain bekerjasama rapat dengan kementerian, badan pengawal selia, institusi kewangan, pembekal, pengeluar pesawat dan rakan syarikat penerbangan.
Beliau berkata sebagai Pengerusi Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) dan ahli Lembaga Gabenor Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), MAG turut bekerjasama dengan pemain industri bagi berkongsi maklumat serta menyelaras tindak balas terhadap sebarang gangguan.
"Tiada satu organisasi pun yang mampu mengatasi krisis secara sendirian. Kejayaan itu bergantung kepada kerjasama antara kerajaan, badan pengawal selia, syarikat penerbangan, pembekal dan rakan industri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial