KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Kemboja mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pembangunan Informasi dan Media yang dimeterai sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa mesyuarat dua hala itu diadakan sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Maklumat (SOMRI) ke-23 di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Rabu.
“Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil mengetuai delegasi ke mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Kemboja yang diketuai oleh Setiausaha Negara Kementerian Penerangan Kemboja Prak Thaveak Amida,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut Kementerian Komunikasi, kedua-dua negara turut bertukar pandangan mengenai pelbagai aspek kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, pembangunan media, transformasi digital serta usaha memperkukuh integriti maklumat dan menangani cabaran landskap media semasa pada mesyuarat itu.
“Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kemboja menerusi pelaksanaan inisiatif strategik, sekali gus memajukan sektor maklumat dan media serta mempererat hubungan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya.
Pada 20 Jun, Malaysia dan Kemboja memeterai MoU mengenai Kerjasama Pembangunan Informasi dan Media, membuka jalan kepada kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang media dan komunikasi.
MoU itu ditandatangani ad referendum oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Amida bagi pihak Menteri Penerangan Kemboja Neth Pheaktra.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial