AM

AMB Perluas Pasaran Di Timur Tengah Menerusi Kerjasama Chef Terkemuka Arab Saudi

25/06/2026 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Ajinomoto (Malaysia) Bhd (AMB) memperkukuh usaha pengembangan pasaran di Timur Tengah menerusi kerjasama strategik dengan dua tokoh kulinari berpengaruh dari Arab Saudi, seiring dengan peningkatan permintaan terhadap produk makanan halal diyakini di rantau itu.

AMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka ialah Pengarah Kulinari yang diiktiraf Michelin dan bekas chef diraja Chef Fadi Mneimneh serta Chef Rakan Aloraifi, iaitu Pengarah Eksekutif dan perunding kulinari pemenang anugerah.

AMB berkata kerjasama dengan Chef Fadi dan Chef Rakan yang merupakan antara figura berpengaruh dalam dunia kulinari Timur Tengah, mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan produk halal berkualiti tinggi pada peringkat global.

Dua chef tersebut juga mengadakan lawatan ke kilang syarikat di Bandar Enstek, Negeri Sembilan baru-baru ini untuk sesi eksklusif yang menampilkan kualiti, kepelbagaian dan integriti halal produk keluaran AMB, selain memperluas pemahaman mengenai Seni dan Sains Umami dalam kalangan pengguna Timur Tengah.

“Kepakaran dan pengaruh mereka membawa perspektif berharga, sekali gus mengukuhkan hubungan AMB dengan pemain utama dalam industri makanan dan hospitaliti di rantau tersebut.

“Program eksklusif ini dirangka bagi meningkatkan kesedaran terhadap portfolio produk AMB yang diperakui halal serta keupayaan pembuatan moden syarikat dalam kalangan pihak berkepentingan utama di Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

AMB memaklumkan kerjasama dengan Key Opinion Leaders kulinari itu juga bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna, mengetengahkan nilai umami dalam masakan moden dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian makanan halal premium.

Antara sorotan utama lawatan itu ialah demonstrasi kulinari secara langsung oleh Chef Fadi dan Chef Rakan yang menampilkan hidangan autentik Timur Tengah dengan menggunakan produk Ajinomoto terpilih.

“Ia memperlihatkan bagaimana umami mampu memperkayakan rasa dan menambah kedalaman perisa tanpa menjejaskan keaslian resipi tradisional, sekali gus menghasilkan pengalaman kulinari unik yang menggabungkan warisan Timur Tengah dengan inovasi makanan berinspirasikan Jepun,” menurut kenyataan itu.

Program itu juga disertai wakil pengedar AMB di Brunei yang membuka ruang untuk jaringan serantau dan pertukaran pengetahuan lebih bermakna.

“Sesi ini menjadi platform untuk membincangkan perubahan cita rasa pengguna, trend kulinari semasa serta peluang perniagaan baharu dalam industri makanan halal yang berkembang pesat di samping memperkukuh kerjasama antara rakan serantau,” menurut kenyataan itu.

Sebagai antara pengeluar makanan terkemuka di Malaysia, AMB memaklumkan mereka akan terus membawa kecemerlangan halal Malaysia ke persada antarabangsa melalui kerjasama strategik dan inisiatif pengembangan pasaran.

AMB turut merancang untuk meneruskan kerjasama dengan dua chef tersebut dalam acara Hotel, Restoran dan Kafe (HORECA) yang dijadualkan secara tentatif pada minggu pertama Oktober 2026 di Riyadh dan Jeddah, Arab Saudi.

Kedua-dua chef itu dijangka mengetuai demonstrasi kulinari secara langsung untuk profesional HORECA, chef serta pembuat keputusan perolehan, selaras dengan usaha berterusan AMB untuk membuka peluang perniagaan baharu dan memperluas capaian produk halal keluaran syarikat di seluruh Timur Tengah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan